LABUAN - Program Bersama Komuniti Pertanian Bandar yang dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan Sub Zon 4 yang dipengerusikan oleh Haji Che Mat Haji Mustapha telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun pada 19 November 2017.

Turut memberikan kerjasama ialah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Peladang Muda PPKLS, JKKK Sungai Bedaun, Jabatan Pertanian Labuan dan Lembaga Pertubuhan Peladang.

Program ini dimulakan dengan acara senaman pagi atau Zumba dan seterusnya majlis perasmian yang telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Haji Bashir Haji Alias.

Menurut Haji Che Mat, program itu bertujuan memberi pendedahan kepada komuniti berkaitan pertanian bandar untuk menggalakkan mereka menggunakan peluang dan ruang yang ada untuk menanam dan menghasilkan pendapatan sampingan selain boleh digunakan untuk keperluan harian.

Selain taklimat penjagaan tanaman, turut diadakan cabutan bertuah untuk peserta yang hadir dan pameran-pameran yang disertai oleh KOSPEN Sungai Bedaun yang menyediakan pemeriksaan kesihatan secara percuma, COMBI Taman Mutiara, IKS dari Kampung Sungai Lada, Kampung Bebuloh dan JKKK Kampung Sungai Bedaun sendiri sebagai tuan rumah.

Bashir juga mengambil peluang untuk melawat galeri sekolah yang menempatkan kejayaan dan pencapaian yang telah dicapai oleh warga SK Sungai Bedaun.

Ia merupakan salah satu peluang yang diberikan kepada pihak sekolah untuk mendedahkan kepada warga SK Sungai Bedaun tentang pertanian bandar apabila satu perjanjian persefahaman (MoU) di antara Jabatan Pertanian Wilayah Persekutuan Labuan yang diwakili oleh Timbalan Pengarahnya, Puan Marysia Mondigan bersama Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun yang diwakili oleh Puan Dg. Sarifah Haji A. Mahmod selaku Guru Besar SK Sungai Bedaun telah dimenterai.

Dg. Sarifah berharap semoga dengan persetujuan kerjasama ini akan dapat membantu warga sekolah, ibu bapa dan komuniti SK. Sg. Bedaun WP Labuan menjayakan projek KmR (Kefahaman melalui Reka bentuk) sebagai satu langkah ke arah merealisasikan Program Transformasi Sekolah(TS25).

Projek ini akan diselia di bawah program 3K dengan harapan akan membantu guru membudayakan PBS dan KBAT di dalam PdP. 

Kmr adalah salah satu cara untuk membantu guru memahami dan merungkai Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) dan mereka bentuk PdP di luar bilik darjah.

Program ini telah dikendalikan oleh seramai 45 orang pelajar dari Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan yang diketuai Pengarah Program, Mohd Ashnawie Asnan bersama Penyelia Program, Rody Sibawon dengan kerjasama Jabatan Pertanian Wilayah Persekutuan Labuan dan SK Sungai Bedaun.

Lebih 150 orang peserta yang terdiri daripada guru-guru SK Sungai Bedaun dan penduduk Kampung Sungai Bedaun, Sungai Lada, Bebuloh dan Taman Mutiara menghadiri program tersebut.

Dengan adanya program seperti ini dapat mengalakkan lagi program bumi hijau dalam kalangan komuniti setempat.  

Ketua Penolong Pengarah BTPN Labuan, Awang Marten Abd Rahman dan Ketua Kampung Sungai Bedaun, Morshidi Mokhtar turut menghadiri majlis tersebut.

Tamat.