LABUAN – Kira-kira 600 pelajar Tahun Satu dan Tahun Dua Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) telah menjayakan UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) Eco Landscape 1.0 pada 25 November 2017.

Majlis pelancaran program itu disempurnakan oleh Dekan FKAL, Prof Madya Dr Hanudin Amin di Padang UMSKAL.

Turut hadir Timbalan Dekan, Dr Mohd Fahmi Mohd Ghazali selaku Ketua Projek.

Hadir sama Penyelaras Program, Muafiza Masdar (Kewangan), Najwa Mohd Khalil (Pengurusan), Nur Shahirah Azman (Operasi) serta dua Penyelaras Bersama, Ricky Jores dan Nurulizam Tinggal.

Sempena program itu, pelajar FKAL memasang laluan berbumbung yang ditanam dengan tanaman menjalar sepanjang 80 meter bagi memberi keselesaan pelajar berjalan kaki ke Dewan Kuliah Pusat untuk mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti kokurikulum.

Menurut Dr Mohd Fahmi, laluan berbumbung dengan tanaman menjalar itu merupakan yang pertama dibina di Universiti Awam di negara ini.

Beliau berharap semua pelajar UMSKAL akan menjaga kemudahan yang disediakan pihak universiti sekaligus menyokong program UMSKAL Eco Landscape.

Sementara itu, Mohd Fahmi berkata program itu bertujuan untuk menyemai semangat kehijauan dalam kalangan pelajar UMSKAL.

Beliau juga yakin menerusi program itu, ianya dapat meningkatkan persekitaran hijau dengan menggunakan konsep 3R.

“Program Eco Landscape 1.0 itu untuk melatih pelajar tentang ‘Hands On Training’ (HOT) berkaitan kursus yang mereka ambil di UMSKAL, “katanya.

Dalam ucapannya, Dr Hanudin pula mahu pelajar mengunakan ruang dan peluang itu untuk menambah ilmu sampingan selain tugas utama mereka.

Katanya, menerusi projek tersebut, beberapa nilai tambah dapat diperoleh pelajar termasuk daya kepimpinan, menghargai alam sekitar dan semangat berpasukan.

“Semangat bekerjasama dapat dilihat menerusi pelaksanaan projek tersebut. Saya ucapkan terima kasih kepada semua pelajar dan pensyarah FKAL yang menjayakan projek UMSKAL Eco Landscape 1.0, “katanya.

Program yang bermula seawal pukul 7.30 pagi itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk senamrobik dan sukaneka.

Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Sub Zon 3, Sairan Ibrahim, Pengerusi Sub Zon 4, Haji Che Mat Haji Mustapha, Pengerusi Sub Zon 5, Haji Omar Masir dan Pengerusi Sub Zon 7, Sukimin Wakimin turut hadir pada majlis pelancaran program itu.

Mohd Fahmi turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Perbadanan Labuan (PL), syarikat perniagaan serta agensi kerajaan dan swasta yang turut menjayakan program murni itu.

“Jalinan kerjasama daripada pelbagai pihak itu termasuk komuniti setempat merapatkan lagi hubungan baik dengan UMS Labuan. Terima kasih kami ucapkan,”katanya.

Projek itu dijalankan selama dua hari dengan pelajar mengadakan pelbagai aktiviti termasuk gotong-royong dan menanam pokok menjalar di laluan berbumbung tersebut.

Bagi memeriahkan program itu, pelajar turut menyertai senamrobik dan sukaneka yang bertujuan untuk melahirkan pelajar yang sihat, cergas dan cerdas.

Tamat.