Seramai 38 orang anggota Pasukan Siswa Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (Pasukan Siswa APM UMSKAL) Semester 1 menjalani program Latihan Medan Pasukan Siswa APM UMSKAL yang diadakan pada 17-19 November 2017 bertempat di Pusat Kawalan Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah WP Labuan. Manakala, 28 orang anggota Pasukan Siswa APM UMSKAL Semester 3 menjalani program ini pada 24-26 November 2017 di tempat yang sama.

Program tiga hari dua malam ini berlandaskan objektif memberi peluang kepada anggota Pasukan Siswa APM UMSKAL mendapat pengetahuan dan kemahiran untuk membantu diri sendiri dan orang lain, memupuk nilai dan sikap hormat menghormati, menurut perintah, berdisiplin, berkerjasama, bertanggungjawab, dan berkeyakinan diri, dan mempertingkatkan ketahanan fizikal, mental dan daya kerohanian yang seimbang.

Majlis Penutupan Latihan Medan Pasukan Siswa APM UMSKAL telah disempurnakan oleh YS. Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Profesor Madya Dr. Hjh. Norazah Mohd Suki selaku Pegawai Bersekutu Pasukan Siswa APM UMSKAL. Baru-baru ini beliau telah dianugerahkan Pingat Am Pertahanan Awam (P.A.P) di atas penglibatan aktif dalam aktiviti Pasukan Siswa APM UMSKAL.

“Bekalan ilmu Pertahanan Awam secara teori dan praktikal, di samping semangat kesukarelawanan yang tinggi di kalangan sukarelawan amat bernilai bagi membantu APM Daerah dalam menghadapi bencana termasuk melaksanakan sebarang aktiviti kesedaran keselamatan awam, kesiapsiagaan menghadapi kecemasan dan bencana” menurut Prof. Norazah.

Beliau turut berpesan kepada anggota Pasukan Siswa APM UMSKAL supaya sentiasa mengamalkan sikap hormat menghormati sesama individu, cekap, berkualiti tinggi, berintegriti, berdisplin, tidak mementingkan diri sendiri, dan bekerja dengan semangat berpasukan ke arah menjadikan pertahanan awam sebagai peneraju keselamatan awam, di samping sentiasa cintakan kepada tanah air.

Melalui penyertaan dalam program ini, anggota Pasukan Siswa APM UMSKAL dapat melakukan aktiviti Jungle Tracking secara berkumpulan dan simulasi latihan menyelamat empat sudut (stretcher repelling) di Bukit Merinding, Pancur Hitam, dan simulasi  membawa bekalan air dan bekalan makanan yang terhad dengan mengharungi cuaca panas dan bentuk muka bumi yang curam dan licin untuk sampai ke checkpoint yang ditetapkan.  

Mereka turut diberi pendedahan berkaitan aplikasi pengendalian peralatan-peralatan kebombaan seperti waterax dan water pump bagi membantu menyelamat mangsa kebakaran, dan peralatan-peralatan dalam ambulans untuk menyelamat mangsa di tempat kejadian, dan cara-cara yang betul bagi menaikkan mangsa ke pengusung.

Di samping itu, aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK) turut dilaksanakan bagi menyelesaikan tugasan yang diberikan seperti pembentangan mengenai logo, visi, dan misi kumpulan.

Seterusnya, di malam hari, setiap kumpulan diberikan tugasan untuk menyediakan makan malam bertema ‘back to nature’ dengan menggunakan ransum yang diberikan mengikut teknik kreativiti yang berbeza seperti menggunakan daun pisang bagi menggantikan pinggan makan.  Ransum bermaksud bagian makanan yang sudah ditentukan ukurannya untuk setiap orang.

Di hari terakhir program, semua peserta menerima sijil penyertaan daripada YS. Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Profesor Madya Dr. Hjh. Norazah.  Turut hadir Kapt. (PA) Japli Siping, Penolong Pegawai Pertahanan Awam Daerah WP Labuan, Lt. M. (PA) Mohd Bakhtiar Yamba, Lt. M. (PA) Mohd Sukri Usman, Lt. (PA) Omar Abbas, Lt. (PA) Marinus Mathius, dan Sjn. (PA) Awang Azami Kassim.

Penglibatan beberapa warga kerja APM Daerah WP Labuan yang bertindak sebagai jurulatih program ini dan juga beberapa anggota Pasukan Siswa APM UMSKAL Semester 5 dalam membantu memperkasakan aktiviti-aktiviti yang dirancangkan turut dihargai.

Tamat.