LABUAN - Pasukan Complex FC muncul juara Karnival Bola Sepak Jemputan UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) 2017 selepas menewaskan LLPM FC (Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd) 1-0 di Padang Dataran Labuan, pada 27 Disember 2017.

Jaringan tunggal Gerald Sean Mojikon pada minit ke-26 sudah cukup buat Complex FC membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 dan piala.

Manakala LLPM FC selaku baib juara menerima RM1,000.

Tempat ketiga pula disandang Labuan Academy yang menewaskan UMSKAL untuk memenangi RM800.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Timbalan Pendaftar Kanan, Zamri Haji Mohamad Tuah yang mewakili Pengarah UMSKAL, Proffesor Madya Dr Murnizam Haji Halik.

Turut hadir Pengarah Program, Asrul Mahmuddin.

Hujan yang turun sebaik sepak mula tidak melemahkan semangat kira-kira 500 penonton menyaksikan aksi mendebarkan yang dipamerkan kedua-dua pasukan.

Pengurus pasukan Complex FC, Syamsul Hairie Datuk Yunus mengucapkan tahniah kepada anak buahnya yang berusaha gigih bukan sahaja untuk memburu kejuaraan tetapi juga mengakhiri tahun 2017 dengan kemenangan bergaya.

“Complex FC berjaya menamatkan tahun 2017 dengan kejayaan yang membanggakan. Kami berharap lebih banyak kejayaan akan diraih pada musim 2018,”katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih LLPM, Dul Alias menyifatkan pasukannya tidak bernasib baik walaupun mempunyai banyak peluang yang terhidang di kedua-dua babak permainan.

Sambil mahu memantapkan lagi pasukannya menghadapi Liberty Cup 2018, Dul Alias yakin kombinasi antara pemain muda dan senior bakal memberikan cabaran kepada pasukan lain pada musim baharu tahun hadapan.

“Jutaan terima kasih juga kami ucapkan kepada Pengerusi Kelab Sukan & Rekreasi LLPM dan Pengurusan LLPM yang sentiasa menyokong pasukan bola sepak LLPM selama ini,”katanya.

Perlawanan akhir itu diadili Jemih Pian dengan bantuan Omar Sani dan Kunchang Mahlul.

Sementara itu, Asrul berkata sebanyak 20 pasukan tempatan menyertai Karnival Bola Sepak Jemputan UMSKAL 2017 anjuran Kelab Bola Sepak UMSKAL sejak 17 November lalu.

Katanya, walaupun pertama kali diadakan, penganjur menerima penyertaan yang menggalakkan dan semua pasukan memberikan komitmen yang tinggi terhadap karnival tersebut.

Beliau tidak lupa merakamkan ucapan penghargaan kepada Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian P176 Kimanis, Ahmad Firdaus Anifah yang turut memberikan sumbangan kewangan kepada penganjur.

“Terima kasih juga kami ucapkan kepada Perbadanan Labuan, Jabatan Belia dan Sukan Labuan serta pengurusan UMSKAL yang memberikan kerjasama padu dalam menjayakan kejohanan tersebut,”katanya.

Asrul juga yakin menerusi penganjuran karnival itu, hubungan baik dapat dijalinkan antara pelajar dan komuniti setempat di Wilayah Persekutuan Labuan sambil meningkatkan mutu bola sepak tempatan.

Tamat.