LABUAN - Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli telah menghadiri program Sesi Ramah Mesra Ahli Parlimen Labuan Bersama Badan Kepimpinan Pelajar Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) di Hotel Tiara, pada 15 Januari lalu.

Majlis anjuran Sektor Hal Ehwal Pelajar (SHEP) UMSKAL itu diketuai Timbalan Naib Canselor (HEPA), UMS, Prof. Dr. Ismail Ali.

Turut hadir Timbalan Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal, Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Haji Mohaammad Tuah, Ketua Jabatan HEPA UMS, Ahmadi Nordin dan Ketua SHEP UMSKAL, Nur Iman Reedzal.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pengurusan Sumber Manusia, Perbadanan Labuan, Norsiah Udin, Timbalan Pengarah Kolej Matrikulasi Labuan, Hamizar Tahir dan Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Mohd Fadzil Mohd Arfah.

Seramai 34 pelajar termasuk pemimpin MPP (5 orang), Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (4) dan 25 pelajar dari Labuan menghadiri perjumpaan tersebut.

Dalam ucapannya, Rozman yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan berharap pelajar UMSKAL akan merebut ruang dan peluang dalam bidang pekerjaan dan perniagaan selepas mereka menamatkan pengajian kelak.

Katanya, pada tahun ini, ekonomi Labuan yang dijangka berkembang positif bakal memberikan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan termasuk kepada graduan lepasan UMS Labuan.

Beliau juga yakin menerusi kemahiran dan kepakaran pelajar UMSKAL yang menuntut di Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) akan dapat digunakan untuk membantu membangunkan Wilayah Persekutuan Labuan pada masa akan datang.

“Graduan UMSKAL juga perlu merebut peluang pekerjaan dan perniagaan yang ditawarkan di pelbagai sektor kerajaan dan swasta di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Saya berharap mahasiswa akan turut membantu membangunkan Wilayah Persekutuan Labuan pada masa akan datang,”katanya.

Tambah Rozman, kehadiran pelajar UMSKAL juga turut menambah jumlah penduduk Labuan, membantu menjana ekonomi tempatan dan merancakkan industri pelancongan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Kehadiran pelajar UMSKAL memberi impak yang sangat besar kepada ekonomi, pertambahan penduduk dan industri pelancongan tempatan,”katanya.

Beliau juga melahirkan rasa bangga kerana Labuan mempunyai sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sekaligus menarik minat generasi muda untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Rozman juga berharap pemimpin pelajar UMSKAL akan terus mengasah bakat kepimpinan agar menjadi pemimpin yang berwibawa suatu hari nanti.

Sementara itu, Prof Dr Ismail mengingatkan pelajar UMSKAL agar sentiasa menjaga nama baik UMS, ibu bapa dan diri sendiri ketika menyertai apa jua program khususnya yang membabitkan masyarakat setempat.

Beliau yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin menasihatkan pelajar supaya menumpukan perhatian kepada pelajaran dan mengelak daripada terjebak dengan kegiatan yang boleh menjejaskan masa depan mereka.

“Pelajar mesti tumpukan kepada tugas utama mereka iaitu belajar bersungguh-sungguh agar menjadi menjadi insan yang berkualiti dan mampu menyumbang tenaga kepada agama, bangsa dan negara suatu hari nanti,”katanya.

Mengenai majlis itu, Ismail berkata ianya merupakan program tahunan dan menjadi tradisi kepimpinan pelajar UMSKAL mengadakan perjumpaan dengan Ahli Parlimen Labuan.

Sambil mengucapkan terima kasih atas komitmen Datuk Rozman Isli terhadap pembangunan UMSKAL selama ini, beliau mahu program seumpama itu dijadikan wadah untuk mengeratkan hubungan baik yang sedia terjalin antara warga universiti dengan pemimpin di Wilayah Persekutuan Labuan.

Ismail tidak lupa merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada jabatan dan agensi kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa berganding bahu dengan UMSKAL menjayakan program anjuran pelajar dan kakitangan pada tahun lalu.

“Saya bagi pihak Naib Canselor UMS akan sentiasa memastikan pelajar memberikan kerjasama dalam menjayakan pelbagai program di Wilayah Persekutuan Labuan,”katanya.

Ismail menambah pada ketika ini, UMSKAL mempunyai 2,162 pelajar termasuk 71 pelajar yang berasal dari Labuan selain menerima 652 pelajar baharu dari seluruh negara.

Tamat.