LABUAN - Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin telah mempengerusikan Sesi Town Hall Siri 2/2018 di Bilik Sri Menanti, UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 29 Januari 2018.

Turut menyertai program tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Rasid Mail dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ismail Ali.

Selain itu, Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad, Bendahari, Zallifah Shadan, Ketua Pustakawan, Dayang Rukiah Ag Amit dan Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik.

Program yang bermula pukul 9 pagi itu turut dihadiri Timbalan Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal, Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Dr Zaiton Othman dan Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Prof Madya Dr Ag Asri Ag Ibrahim serta Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Haji Mohammad Tuah.

 Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat (PPSKK), Prof Madya Dr Abdul Hamid Ahmad bertindak sebagai moderator program tersebut yang dihadiri pegawai, pensyarah dan kakitangan yang bertemakan ‘Bersama-sama Kita Memacu Kecemerlangan UMS’.

Pada sebelah petang pula diadakan taklimat Transformasi Ke Arah Universiti Industri 4.0 oleh Penolong Naib Canselor, Prof Dr Marcus Jopony yang juga Pengarah Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat.

Selepas sesi tersebut, Prof Dr Kamarudin mengadakan lawatan ke sekitar kampus yang diiringi Dr Murnizam.

Naib Canselor bersama pegawai utama UMS turut menghadiri program riadah di Bangunan Menara UMS Labuan bagi mengeratkan hubungan antara pengurusan universiti dengan kakitangan UMSKAL.

Manakala pada hari Selasa, Dr Kamarudin mempengerusikan mesyuarat Pihak Berkuasa Pengurusan Universiti (PPBU) Bil.1/2018 (Siri 2) Kali Ke-220 di Seminar Kiamsam.

Dr Kamarudin berkata Sesi Town Hall mampu menjadi platform buat kakitangan mengetengahkan pendapat yang mampu menyumbang kepada kemajuan UMS.

Ianya juga memberi peluang kepada warga UMSKAL untuk terlibat dalam dialog konstruktif bersama pengurusan universiti, memberi ruang kepada ahli akademik dan bukan akademik untuk mengemukakan pandangan, cadangan, hasrat dan harapan tentang bagaimana UMS bergerak ke hadapan dan terus cemerlang, mengumpul maklumat sebagai rujukan untuk menambah baik pencapaian UMS serta bahan dalam merangka Pelan Strategik UMS 2018-2020.

Naib Canselor turut menerangkan tentang nilai-nilai teras UMS iaitu Dynamic, Sustainable, Integrity, Justice dan Happines Index.

Beliau turut menyentuh tentang transformasi UMS ke arah universiti/industri 4.0, mempertingkat pengalaman holistik pelajar dan Smart Eco UMS yang nerangkumi Pengajaran dan Pembelajaran 4.0, Pentadbiran 4.0 dan Penyelidikan 4.0.

“Semua warga universiti perlu bekerja keras secara pintar untuk mencapai hala tuju Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), industri, masyarakat dan UMS sendiri,”katanya.

Mengenai UMSKAL, Prof Dr Kamarudin berkata pihak pengurusan universiti telah, sedang dan akan menambahbaik kemudahan infrastruktur, kemudahan ICT, pengangkutan dan penginapan pelajar selaras dengan kedudukannya sebagai kampus antarabangsa.

Tambah beliau, UMS akan bekerjasama dengan kepimpinan di Wilayah Persekutuan Labuan khususnya Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli bagi memastikan UMSKAL terus cemerlang dan disegani di rantau ini.

Tamat.