LABUAN - Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin mengadakan lawatan kerja rasminya ke UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) sempena program Sesi Town Hall Siri 2/2018 pada 29-30 Januari 2018.

Beliau yang diiringi Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik melawat kolej kediaman pelajar dan meninjau tanaman buah tin dan cili yang diusahakan pelajar.

Turut mengiringi Naib Canselor ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Rasid Mail dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ismail Ali.

Selain itu, Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad, Bendahari, Zallifah Shadan dan Ketua Pustakawan, Dayang Rukiah Ag Amit serta Penolong Naib Canselor, Prof Dr Marcus Jopony yang juga Pengarah Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat.

Timbalan Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal dan Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Haji Mohammad Tuah turut mengiringi lawatan tersebut.

Pada sebelah petang, Dr Kamarudin bersama pegawai utama UMS turut memeriahkan program riadah dengan bermain dam ular gergasi bersama kakitangan di ruang parkir Bangunan Menara UMS Labuan bagi mengeratkan hubungan antara pengurusan universiti dengan kakitangan UMSKAL.

“Program riadah itu mampu mengeratkan hubungan yang lebih erat antara pengurusan universiti dengan kakitangan UMS Labuan. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik yang sentiasa berusaha untuk memastikan kebajikan dan kerjasama dalam kalangan kakitangan mendapat perhatian sewajarnya,”katanya.

Manakala pada hari Selasa, Dr Kamarudin mempengerusikan mesyuarat Pihak Berkuasa Pengurusan Universiti (PPBU) Bil.1/2018 (Siri 2) Kali Ke-220 di Bilik Seminar Kiamsam.

Beliau berharap kunjungan pertama itu akan dapat membantu meningkatkan lagi semangat dan tekad warga UMS Labuan untuk memacu kecemerlangan UMS di persada pendidikan di peringkat lebih tinggi.

“Pengurusan universiti akan terus berusaha gigih untuk memastikan UMS berada di landasan yang tepat ke arah kecemerlangan di peringkat nasional dan antarabangsa,”katanya.

Kamarudin mengingatkan warga UMS supaya sentiasa menjaga nama baik universiti di samping berusaha gigih meningkatkan martabat universiti di peringkat nasional dan antarabangsa.

Beliau juga menasihatkan pegawai, pensyarah dan kakitangan supaya sentiasa menjalinkan hubungan yang erat dengan komuniti setempat kerana UMS ditubuhkan untuk manfaat rakyat di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Tamat.