LABUAN - Pada 9 Februari 2018, Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Bengkel Penilaian Silabus untuk Program eUsahawan dengan bimbingan pihak Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) di Bilik Mesyuarat Eksekutif, Aras 13, Bangunan Menara UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Bengkel tersebut bertujuan menganalisis dan mencadangkan penambahbaikan kepada silabus yang ada supaya dapat disesuaikan dengan program eUsahawan yang berjalan di institusi-institusi pengajian tinggi yang lain di Malaysia.

Dekan FKI, Profesor Madya Dr Ag Asri Ag Ibrahim mempengerusikan bengkel tersebut.

Turut hadir Timbalan Dekan (Akademik & HEP) Dr Zamhar Iswandono Awang Ismail, Ketua Program Komputeran Perniagaan Dr Joe Henry Obit, Ketua Program Teknologi Multimedia, Dr Carolyn Salimun, serta pensyarah-pensyarah yang lain.

Manakala pihak MDEC telah diwakili oleh Eksekutif Kanan Kluster Inisatif Belia dan Komuniti, Nur Balkis Amairuddin bersama rombongannya, Azlinda Mohd Hairon, Sarah Farhana Juhari, Muhammad Zulhilmi Shaharuddin dan Rosmizan Ali.

Ag Asri berkata program eUsahawan merupakan program peringkat kebangsaan yang memberi pendedahan dan memurnikan inspirasi keusahawanan digital dalam kalangan belia Malaysia dan para usahawan mikro untuk menjana pendapatan lumayan menerusi platform digital.

Katanya, FKI melalui program-programnya telah melahirkan ramai graduan yang terlibat dalam Ekonomi Digital, termasuklah usahawan-usahawan e-dagang.

Beliau berkata dengan silabus yang lebih kukuh, ilmu serta kemahiran terkini dapat diterapkan di peringkat fakulti dan universiti.

“Program eUsahawan juga melibatkan penganjuran kursus-kursus perniagaan dan penjanaan pendapatan melalui Internet kepada komuniti sekitar,”katanya.

Faedah daripada usaha ini bukan sahaja akan dirasai oleh pelajar-pelajar FKI tetapi juga komuniti di Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah.

Diharap dengan adanya bengkel ini, kerjasama antara FKI dengan MDEC akan lebih diperkukuhkan dan membawa kepada program-program yang berfaedah kepada semua pada masa hadapan.

Tamat.