LABUAN - Financial Park (Labuan) Sdn Bhd akan menganjurkan Labuan ICT Fair dan ESports Challenge 2018 pada 9 hingga 11 Mac ini.

Turut diadakan pameran dan promosi kelengkapan IT dan gadget, temuduga terbuka bersama graduan IT oleh Labuan FSA dan demonstrasi robotik oleh Digital Maker Hub Club, FKI Kota Kinabalu dan Labuan International School.

Manakala Dekan FKI, Prof Madya Dr Ag Asri Ag Ibrahim akan menyampaikan ceramah bertajuk Industry 4.0 sementara Dr Zamhar Ismail menyampaikan ceramah mengenai Games Development in Labuan.

Program yang julung kalinya diadakan itu akan berlangsung di Anggerik Square, Kompleks Ujana Kewangan Labuan dari pukul 9 pagi hingga 6 petang.

Labuan ICT Fair turut dianjurkan bersama oleh Telekom Malaysia ™ dan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL). 

Program itu turut mendapat sokongan daripada Jabatan Belia dan Sukan serta Labuan FSA.

Pengerusi penganjur, Ishammudin Mansor yang juga Pengurus Promosi dan Pemasaran Financial Park (Labuan) Sdn Bhd berkata program itu diadakan untuk memberi kesedaran kepada orang awam mengenai teknologi terkini dan memperkenalkan sukan Elektronik dalam kalangan penduduk Labuan.

Katanya, ianya juga untnk memberi peluang kepada peniaga-peniaga mempromosikan produk mereka.

“Kami sediakan ruang dan peluang kepada orang ramai mengenai teknologi terkini dan memperkenalkan sukan Elektronik,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penganjur program tersebut di Bilik Mesyuarat Aras 13, Bangunan Menara UMS Labuan, baru-baru ini.

Ishammudin berkata pihak penganjur mensasarkan pengunjung dan peserta dari Sabah dan Sarawak selain warga Wilayah Persekutuan Labuan sendiri.

Turut dilantik sebagai AJK Penganjur ialah Pengurus IT Financial Park, Haji Hashim Ismail dan Eksekutif Pemasaran Financial Park, Jassica Jumary serta dua Penolong Pengurus Telekom Labuan, Razak Kendely dan Dayang Junaidah Datu Matsuin.

Manakala FKI, UMSKAL diwakili Timbalan Dekan (Akademik & HEP), Dr. Zamhar Iswandono Awang Ismail,  Ketua Program E-Dagang (HE-13), Dr. Joe Hendry Obit dan Ketua Program Teknologi Multimedia (HE-12), Dr. Carolyn Salimun@Jackson.

Sementara itu, peserta ESports berpeluang memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM1,500, RM800 dan RM500 bagi pertandingan mobile legends.

Manakala street fighter V menawarkan hadiah RM300, RM200 dan RM150.

Pihak penganjur juga menyediakan hadiah cabutan bertuah kepada pengunjung dan peserta.