Majlis Perhimpunan Bulanan Peringkat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan (APM WP Labuan) telah berlangsung pada 18 Mac 2018 di Dewan Kuliah Utama Institut Latihan Perindustrian Labuan (ILP Labuan). 

Majlis ini telah disempurnakan oleh YS Lt. Kol. (PA) Mohd Zahri Bin Abdul Aziz, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Wilayah Persekutuan, selaku wakil Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Wilayah Persekutuan, Kol. (PA) Md Anuar Bin Jasmin. 

Turut hadir dalam Majlis Perhimpunan ini adalah YS Mejar (PA) Zico Bin Sual (Pegawai Pertahanan Awam Daerah Wilayah Persekutuan Labuan), YS Lt. Kol. (PA) Profesor Madya Dr. Hjh. Norazah Bte Mohd Suki (Pegawai Bersekutu Pasukan Siswa Angkatan Pertahanan Awam Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Wakil Pengarah ILP Labuan, anggota Pasukan Siswa APM UMSKAL, dan anggota Pasukan Institut Pertahanan Awam ILP. 

YS Lt. Kol. (PA) Mohd Zahri dalam ucapannya menyeru semua warga APM Labuan agar memartabatkan APM ke arah menjadi sebuah organisasi berprestasi tinggi, diberkati, dan mencapai matlamatnya untuk terus cemerlang selaku sekretariat pengurusan bencana dan keselamatan di WP Labuan dengan memberikan perkhidmatan yang terbaik bagi kesejahteraan seluruh rakyat dan negara. 

Sempena Majlis Perhimpunan ini, penyampaian sumbangan Dana Kasih Sayang Pertahanan Awam (DASPA) turut diberikan kepada L/KPL. (PA) Mohamad bin Abdullah. Selain daripada itu, penyampaian sijil “1 Keluarga, 1 APM” diserahkan kepada 11 buah keluarga yang terpilih. 

Beberapa bentuk penghargaan turut diberikan kepada warga APM WP Labuan yang cemerlang seperti Anugerah Pekerja Terbaik Bulanan, Sijil Penghargaan kepada Anggota Skim Keselamatan dan Pertahanan, Anggota Skim Gunasama Perkeranian, Anggota Sukarela Tugas Pejabat, Anggota Sukarela Tugas Operasi, dan Anggota Sukarela Pertahanan Awam. 

Di samping itu, sijil penghargaan turut disampaikan kepada Lt. Kol. (PA) Profesor Madya Dr. Hjh. Norazah Bte Mohd Suki selaku Pegawai Bersekutu Pasukan Siswa APM UMSKAL, dan Tn. Abdullah Bin Muhamad selaku Pengarah ILP Labuan atas jasa khidmat bakti terhadap program latihan APM di institusi pendidikan tinggi tersebut. 

Melalui Majlis Perhimpunan ini, seluruh warga APM WP Labuan diberikan kata-kata semangat untuk sentiasa gigih dan komited dalam melaksanakan setiap arahan dan tugasan yang diamanahkan dengan jayanya tanpa mengira masa dan situasi.

Tamat.