LABUAN - Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah menerima kunjungan Profesor Shigekazu Sakai dari Waseda University (Jepun) pada 15 dan 16 Mac lalu.

Profesor Sakai merupakan profesor pelawat yang sedang mengambil sabatikal di Universiti Malaysia Sabah dari 9 Februari hingga 22 Mac 2018.

Beliau yang merupakan pakar dalam bidang Grafik Komputer telah memulakan kerjayanya dalam industri animasi komputer dari tahun 1980-an dan menyertai dunia akademik sejak tahun 1994.

Hasil karya beliau telah ditayangkan oleh rangkaian televisyen NHK (Jepun) ke seluruh dunia.

Beliau juga pernah menyandang jawatan Presiden Asia Digital Art and Design Association dari tahun 2008 hingga 2011.

Semasa lawatannya di FKI UMSKAL, Profesor Sakai telah menyampaikan dua syarahan kepada para pensyarah, pelajar pasca-siswazah dan pra-siswazah berkenaan industri animasi antarabangsa.

Beliau juga telah mengadakan perbincangan berkenaan penambahbaikan silabus program Teknologi Multimedia yang ada di FKI.

Dekan FKI, Prof Madya Dr Ag Asri Ag Ibrahim yakin menerusi perbincangan tersebut, akan memberi manfaat kepada pengajaran dan pembelajaran di fakulti tersebut.

Profesor Sakai turut berkesempatan mengadakan perbincangan dengan Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik sambil menikmati pemandangan menarik dari Aras 13, Bangunan Menara UMS Labuan.

Tamat.