LABUAN - Komuniti Cina perlu memberikan sokongan padu kepada penganjuran program Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Saranan itu disuarakan oleh Pengerusi Dewan Perniagaan Cina Labuan (LCCC), Datuk Wong Kii Yii ketika berucap merasmikan Malam Kebudayaan Cina (CCN) UMSKAL 2018 di Dewan Konvensyen Kompleks Ujana Kewangan Labuan pada 31 Mac 2018.

Turut hadir Pensyarah Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Samsul Bahari Mohd Nasir yang mewakili Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik, Penyelaras Program CCN, Henry Bating dan Alliyah Ku serta Pengarah Program Phuah Chun Horng.

Pada majlis itu, Jawatankuasa CCN 2018 menyerahkan sumbangan sebanyak RM888 hasil jualan tiket kepada dua sekolah Cina iaitu SJKC Chi Wen dan SJKC Chung Hwa yang masing-masing diterima Guru Besarnya, Julius Voo Jiunn Jye dan Yong Kui Chen.

Majlis pada malam itu diserikan dengan persembahan tarian singa, persembahan gendang rebana, tarian kebudayaan dan nyanyian.

Wong berkata CCN nmerupakan suatu acara yang bermakna terutamannya dapat memperkenalkan kebudayaan Cina kepada masyarakat tempatan.

Beliau berharap komuniti Cina dapat memberikan sokongan kepada pelajar UMSKAL yang datang dari seluruh negara.

“Saya akan terus menyokong penganjuran CCN pada masa akan datang. Saya berharap agar pelajar universiti dapat meneruskan lagi semangat untuk memupuk kebudayaan Cina ini dalam kalangan mahasiswa serta masyarakat Labuan,”katanya.

Wong turut berbangga kerana UMSKAL dapat memberikan sumbangan ikhlas kepada dua buah SJKC di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Sumbangan ini haruslah dihargai oleh masyarakat Cina khususnya ibu bapa,”katanya.

Tamat.