Seramai 130 orang anggota Pasukan Siswa Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Universiti Malaysia Sabah (Pasukan SIswa APM UMS) menyertai Kem Latihan Tahunan Pasukan Siswa APM UMS 2018 yang diadakan pada 30 Mac - 1 April 2018 bertempat di Pusat Kawalan Operasi APM Daerah WP Labuan. Daripada jumlah ini, 75 orang adalah anggota Pasukan SIswa APM UMS Kampus Induk Kota Kinabalu, dan 55 orang adalah anggota Pasukan Siswa APM UMS Kampus Antarabangsa Labuan.

Kem Latihan Tahunan ini berlandaskan objektif memberi ruang dan peluang kepada anggota Pasukan Siswa APM UMSKAL mempertingkatkan ketahanan fizikal, mental dan daya kerohanian yang seimbang melalui aktiviti mencari dan menyelamat mangsa bencana, dan pendedahan tentang pengurusan bencana bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat dan negara.

Majlis Penutupan Kem Latihan Tahunan Pasukan Siswa APM UMS 2018 telah disempurnakan oleh YS. Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Profesor Madya Dr. Hjh. Norazah Mohd Suki selaku Pegawai Bersekutu Pasukan Siswa APM UMSKAL.

Turut hadir dalam majlis ini adalah Kapt. (PA) Zulfaituri Ramlee selaku Ketua Jurulatih Pasukan Siswa APM UMS, Kapt. (PA) Japli Siping selaku Ketua Jurulatih Pasukan Siswa APM UMSKAL, Lt. (PA) Marinus Mathius, Lt. M. (PA) Mohd Bakhtiar Yamba, Lt. (PA) Omar Abbas, dan Sjn. (PA) Awang Azami Kassim.

“Bekalan ilmu Pertahanan Awam secara teori dan praktikal, di samping semangat kesukarelawanan yang tinggi di kalangan sukarelawan amat bernilai bagi membantu APM Daerah dalam menghadapi bencana termasuk melaksanakan sebarang aktiviti kesedaran keselamatan awam, kesiapsiagaan menghadapi kecemasan dan bencana” menurut Prof. Norazah.

Amalan sikap sentiasa cintakan kepada tanah air, hormat menghormati sesama individu, cekap, berkualiti tinggi, berintegriti, berdisplin, tidak mementingkan diri sendiri, dan bekerja dengan semangat berpasukan ke arah menjadikan pertahanan awam sebagai peneraju keselamatan awam turut dititikberatkan kepada Pasukan Siswa APM UMS.

Penglibatan beberapa warga kerja APM Daerah WP Labuan yang bertindak sebagai jurulatih dan ahli jawatankuasa bagi Kem Latihan Tahunan ini di samping beberapa anggota Pasukan Siswa APM UMSKAL Semester 6 turut membantu memperkasakan aktiviti-aktiviti yang dirancangkan.

Tamat.