LABUAN - 18 Mac 2018 telah mencatat sejarah buat Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) apabila Kelab Debat Bahasa Melayu Kampus Antarabangsa Labuan (KDBMKAL) telah dinobatkan Johan dalam Pertandingan Debat Piala Pengetua Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) yang berlangsung pada 16 sehingga 18 Mac 2018 minggu lepas.

4 jam 30 minit untuk sampai ke destinasi yang dituju, menaiki feri kenderaan, seterusnya menaiki bas dan begitulah perjalanan yang cukup mencabar yang perlu kami tempuhi.

Perjalanan yang panjang ini, kami tempuhi bersama barisan Majlis Perwakilan Pelajar Kampus Antarabangsa Labuan (MPPKAL) yang sudi menghulurkan bantuan kepada pasukan KDBMKAL dalam misi untuk sampai ke Pertandingan Debat Piala Pengetua Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) di Universiti Malaysia Sabah.

Dengan kekuatan seramai 10 orang pendebat KDBMKAL dan seorang jurulatih, Hasrul Effendi Muhd Salleh, UMSKAL telah menghantar 3 pasukan ke Pertandingan Debat Piala Pengetua KKTM yang berlangsung selama tiga hari dua malam. 

BERITA GEMBIRA BUAT WARGA UMSKAL! Satu daripada pasukan yang dihantar, telah berjaya ke pentas akhir Pertandingan Debat Piala Pengetua KKTM yang diwakili oleh Mahasiswi tahun akhir di UMSKAL iaitu Nur Medina binti Khairul Anuar, Fatin Nabilah binti Baharin dan Nur Jannah binti Mohd Firdaus yang merangkul piala kejohanan, wang tunai dan sijil penyertaan.

TAHNIAH diucapkan buat Fatin Nabilah binti Baharin yang telah berjaya menarik perhatian juri sehingga memilihnya sebagai pendebat terbaik pentas akhir pertandingan debat tersebut. Tahniah sekali lagi buat pasukan UMSKAL.

Sekalung penghargaan buat pihak Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan, Sektor Perumahan dan Hospitaliti UMSKAL serta Majlis Perwakilan Pelajar Kampus Antarabangsa Labuan (MPPKAL) yang telah memberikan kepercayaan buat KDBMKAL mewakili pihak universiti ke pertandingan tersebut. Kekal diingatan buat penyelaras KDBMKAL yang sentiasa memberikan sokongan dan turut menyaksikan pertandingan tersebut iaitu Cik Suzillah binti Sidek.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun yang turut mendoakan kejayaan kami,”kata Fatin Nabilah.

Tamat.