LABUAN - Kelab Debat Bahasa Melayu Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (KDBMUMSKAL) akan mengadakan Pertandingan Debat Terbuka Ekonomi Piala Pengarah (DTEPP) 2018 Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 13 hingga 15 April ini.

Penganjuran Pertandingan DTEPP itu bertujuan untuk menyahut Falsafah Pendidikan Negara iaitu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Pertandingan DTEPP ini akan dihangatkan lagi dengan penampilan para pendebat daripada 21 pasukan yang mewakili universiti seluruh negara di pentas yang sama iaitu Debat British Style.

Sementara itu, pada 9 April lalu telah diadakan Majlis Perasmian Debat Terbuka Ekonomi Piala Pengarah 2018 UMS Kampus Antarabangsa Labuan yang telah disempurnakan oleh Timbalan Pendaftar Kanan, Zamri Haji Mohamad Tuah yang mewakili Pengarah UMSKAL Professor Madya Dr. Murnizam Haji Halik.

Turut menghadiri majlis tersebut Penolong Pendaftar, Sektor Hal Ehwal Pelajar, Mohd Fazli Sarudi, Penyelaras Kelab Debat Bahasa Melayu UMSKAL, Suzillah Sidek dan Pengarah Program Debat Terbuka Ekonomi Piala Pengarah 2018, Nursyazwani Hassan.

Menurut Zamri dengan adanya Pertandingan DTEPP ini akan dapat melahirkan mahasiswa-mahasiswi yang berdaya saing serta mampu berfikir ke hadapan.

Majlis perasmian DTEPP ini diserikan lagi dengan gimik perasmian persembahan Debat Ala Parlimen daripada Ahli Kelab Debat Bahasa Melayu UMS Kampus Antarabangsa Labuan.

Pusingan akhir Pertandingan Debat Terbuka Ekonomi Piala Pengarah 2018 UMSKAL akan berlangsung pada 15 April 2108 (Ahad) bermula pukul 7 malam di Dewan Utama UMSKAL.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah bakal disempurnakan oleh Pengarah UMSKAL, Professor Madya Dr. Murnizam.

Johan akan menerima RM1,000, Piala Pusingan dan sijil penyertaan, naib johan RM800, piala dan sijil penyertaan manakala tempat ketiga RM500, piala dan sijil penyertaan.

Tamat.