LABUAN – Seramai 143 orang pelajar prauniversiti SMK Labuan telah mengadakan lawatan sambil belajar di Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) baru–baru ini melalui program Aku Bakal Mahasiswa.

Program ini diadakan sebagai landasan yang dapat memberikan pendedahan dan pengalaman yang sebenar kepada pelajar suasana pengajaran dan pembelajaran di kampus.

Pemilihan UMSKAL ialah untuk membuka minda pelajar bahawa Wilayah Persekutuan Labuan sendiri mempunyai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang boleh menjadi platform kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

Rombongan ini diketuai oleh Penolong Kanan Prauniversiti SMK Labuan, Saminan Sabtu bersama–sama 27 orang pensyarah. 

Sejurus tiba, mereka mendengar taklimat pengenalan UMSKAL oleh Nor Atiqah Mustafa, pegawai daripada Sektor Pentadbiran dan Sumber Manusia (SPSM).

Selepas itu diikuti oleh taklimat mengenai program yang ditawarkan di UMS khususnya UMSKAL dan persediaan memasuki universiti oleh Ketua Sektor Perkhidmatan Akademik, Juliana Affendy dan Penolong Pegawai Tadbir, Mohizam Mohamad.           

Selain taklimat, mereka dibawa melihat kemudahan yang disediakan dan persekitaran kampus.

Menurut Saminan Sabtu, program ini juga diharapkan dapat meningkatkan motivasi pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Beliau juga yakin menerusi program tersebut akan meningkatkan semangat pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh sekaligus menimba ilmu ke menara gading.

Saminan yang mewakili Pengetua SMK Labuan, Ismail Abdullah mengucapkan terima kepada pengurusan UMSKAL yang memberikan komitmen dan kerjasama sepanjang program itu diadakan.

“Kerjasama pintar antara SMK Labuan dan UMSKAL diharap mampu melonjakkan kecemerlangan pendidikan tinggi di Wilayah Persekutuan Labuan,”katanya.

Saminan menasihatkan pelajar pra universiti terus belajar bersungguh-sungguh bukan sahaja untuk memasuki menara gading tetapi juga memperolehi pekerjaan yang baik untuk menyara keluarga.

Program diteruskan dengan LDK yang dikendalikan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMSKAL dan perlawanan bola jaring dan bola tampar pada sebelah petang.

Tamat.