LABUAN – Sekolah Menengah Sains Labuan (SMSL) mengungguli Pertandingan Bicara Berirama Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2018 yang diadakan di Dewan Utama Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), pada 3 Mei 2018.

Kejayaan itu merupakan kemenangan buat kali ketiga selepas menjuarainya pada tahun 2015 dan 2016.

Kumpulan itu yang dilatih cikgu Yahya Burhanuddin menampilkan aksi persembahan menghiburkan dengan tajuk ‘Keusahawanan Pemangkin Kesejahteraan’ turut membawa pulang hadiah Skrip Terbaik dan Konduktor Terbaik menerusi Mittchell Stanlley Michael.

“Kami menghimpunkan pelajar Tingkatan 1, 2 dan 4 untuk membentuk pasukan Bicara Berirama yang mampu bersaing di peringkat Negeri dan Kebangsaan. Saya ucapkan terima kasih kepada Pengetua SM Sains Labuan, Haji Mahamad Shukri Said yang sentiasa memberikan sokongan moral kepada kami. Begitu juga dengan guru-guru yang lain di samping kegigihan peserta itu sendiri,”katanya.

SMK Labuan menduduki tempat kedua kategori persembahan dan ketiga Skrip Terbaik.

Tempat ketiga SMK Taman Perumahan Bedaun kategori persembahan dan kedua Skrip Terbaik.

Turut mengambil bahagian SM Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (SMA MAIWP), SMK Rancha-Rancha dan SMK Lajau.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Penolong Pendaftar Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), UMSKAL, Haji Taufik Abd Latif yang mewakili Pengarah UMSKAL, Profesor Madya Dr Murnizam Haji Halik.

Turut menyampaikan hadiah ialah Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pendidikan Labuan, Asbollah Amit, Pensyarah UMSKAL, Shamsulbahri Mohd Nasir dan Penolong Kanan Kokurikulum, SMK Rancha-Rancha, Fauziah Haji Idris.

Hadir sama Ketua Unit Kokurikulum, Subari Dwar dan Pengarah Program, Mohamad Amirul Asraf.

Pertandingan Bicara Berirama dianjurkan Jabatan Pendidikan Labuan manakala PPIB UMSKAL dan SMK Rancha-Rancha sebagai pengelola bersama.

“Terima kasih kepada UMSKAL yang sudi bekerjasama menjayakan Pertandingan Bicara Berirama buat kali pertama dengan Jabatan Pendidikan Labuan. Saya berharap lebih banyak kerjasama dapat dijalinkan antara kedua-dua pihak, “kata Asbollah.