LABUAN – Pada 2 Jun 2018 telah berlangsung Bulan Ramadan Bulan Persaudaraan (BRBP) di Masjid Al-Hikmah UMSKAL anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Menurut Pengarah Program, Muhammad Syimir Rasidi, program Bulan Ramadan Bulan Persaudaraan adalah satu program yang dikhususkan hanya pada bulan Ramadan.

Katanya, program berbentuk kerohanian dan kebajikan itu adalah hasil usaha MPP dengan kerjasama Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (Jakmas) dan Kelab Sahabat Al-Hikmah.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang program ini ialah majlis berbuka puasa dan bersahur bersama-sama sejak 17 Mei hingga 2 Jun lalu selain kuliah Ramadan dan Majlis Iftar Perdana.

Beliau berkata program yang bertemakan ‘Madrasah Ramadan’ itu turut diisi dengan aktiviti termasuk kursus sembelihan dan majlis sembelihan atau korban serta Majlis Tadarus Al-Quran dan Khatam Al-Quran.

Turut diadakan pada majlis penutupan itu ialah penyampaian bantuan kepada golongan asnaf yang disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Dr Suzilah Sidek.

Majlis tersebut turut diimarahkan dengan ceramah khas ‘Al-Quran: Kudamba Syafaatmu oleh penceramah bebas, Ustaz Dato’ Haji Hassan Mahmood Al-Hafiz.

Turut hadir pada majlis penutupan itu ialah Pensyarah FKAL, Samsulbahri Mohd Nasir, Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan, Ustaz Mohd Zaki Mat Salleh dan Eksekutif Zakat Unit Cawangan Labuan, Asri Asmat serta Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam dan Masjid UMSKAL, Ustaz Mohammad Khairul Isham Abd Latif.

Seramai 20 staf JAWI Labuan turut bersama bagi menjayakan majlis tersebut.

Selepas berbuka puasa, jemaah menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih.

Muhammad Syimir tidak lupa mengucapkan terima kasih atas kerjasama pelbagai pihak termasuk Hab Halal Labuan, JAWI Labuan, PPZ Labuan, Moorty Mini Market, Rotimas Sdn Bhd, Klinik Suria Sdn Bhd, Klinik Surgeri Bakti Sdn Bhd dan Hotel Tiara.

“Ucapan terima kasih juga kami tujukan kepada Pengarah UMSKAL dan semua pegawai dan kakitangan, AJK Pelaksana serta pelajar yang menjayakan program tersebut pada tahun ini,”katanya.

Tamat.