LABUAN – Sudah menjadi tradisi Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan program Ziarah Ramadan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Program tahunan yang diketuai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ismail Ali itu menziarahi empat golongan asnaf dan dua buah Maahad Tahfiz.

Sambil menyerahkan sumbangan berbentuk barangan keperluan harian dan perabot, program yang bermula pukul 2 petang itu bertujuan untuk membuktikan keprihatinan warga universiti terhadap golongan asnaf dan pelajar tahfiz di Wilayah Persekutuan Labuan.

Ismail berkata Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin memfokuskan tiga nilai utama iaitu kebahagiaan, hormat menghormati dan kasih sayang dalam menjalankan program seumpama itu.

Katanya, menerusi ziarah tersebut, HEPA berharap golongan asnaf turut menikmati kebahagiaan pada bulan Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini walaupun hidup dalam serba kekurangan.

Selain itu, Ismail mahu ahli rombongan yang terdiri daripada pegawai Jabatan HEPA UMS Kota Kinabalu dan UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) sentiasa menghormati komuniti masyarakat terutama golongan asnaf dan pelajar tahfiz.

“Kunjung ziarah itu membuktikan kasih sayang warga Jabatan HEPA UMS terhadap golongan asnaf dan pelajar tahfiz di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Kami akan meneruskan program Ziarah Ramadan ini kerana ia mampu membantu meringankan beban golongan asnaf dan tahfiz menghadapi Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini,”katanya.

Turut mengiringi konvoi tersebut ialah Ketua Jabatan HEPA UMS, Ahmadi Nurdin dan Ketua Sektor HEPA UMSKAL, Nur Iman Reedzal.

Pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (Jakmas) UMSKAL turut menziarah golongan asnaf dan pelajar tahfiz tersebut.

Tambah Ismail, menerusi program itu juga membuktikan komitmen HEPA terhadap komuniti setempat sama ada di Kota Kinabalu, Labuan mahupun Sandakan khususnya golongan yang memerlukan bantuan.

“Pihak UMS mahu menanam semangat kasih sayang dalam diri pelajar terhadap penderitaan golongan asnaf selain menceriakan pelajar tahfiz,”katanya.

Pada masa sama, beliau berharap warga UMS akan sentiasa bersyukur dengan kehidupan yang dinikmati ketika ini yang serba mencukupi berbanding golongan asnaf yang serba kekurangan.

Kata Ismail, UMS menerusi Jabatan HEPA menjalankan program tanggungjawab sosial (CSR) ini untuk mengeratkan lagi hubungan baik yang sedia terjalin dengan masyarakat setempat terutama pada bulan Ramadan dan hari lebaran.

Beliau juga berkata pihak UMS sentiasa menyokong pendidikan tidak formal yang dikendalikan pusat tahfiz yang memberikan tumpuan terhadap pengajian Al-Quran kepada anak-anak yang masih kecil.

Sementara itu, Pengetua Madrasah Tahfiz Al-Quran Sri Merinding, Ustaz Haji Arif Aliskah mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pihak HEPA UMS yang berupaya meringankan kewangan pusat tahfiz tersebut.

“Kami bersyukur dengan kunjungan pegawai HEPA UMS sekaligus meringankan pengurusan kewangan Tahfiz Sri Merinding selain menceriakan pelajar pada bulan Ramadan dan Aidilfitri akan datang,”katanya.

Pengetua Maahad Tahfiz Al-Badr, Ustaz Ahmad Sharizal Mohd Saffian juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak HEPA UMS yang sudi menghulurkan bantuan kepada pelajar.

“Kami amat hargai sumbangan pihak HEPA UMS itu. Semoga Allah mencurahkan rezeki kepada kita semua,”katanya.

Seorang ibu tunggal di Kampung Rancha-Rancha yang menerima bantuan perabot berasa syukur dengan keprihatinan pihak HEPA UMS itu.

“Kunjungan konvoi HEPA UMS amat mengharukan saya dan anak-anak dalam menempuh Ramadan dan Aidilfitri. Terima kasih banyak-banyak,”katanya.

Ismail tidak lupa mengucapkan terima kasih atas kerjasama Ketua Kampung Sungai Miri, Haji Tajudin Omar, Ketua Kampung Layang-Layangan, Faizal Lakat, Ketua Kampung Rancha-Rancha, Awang Damit Bakar dan Ketua Kampung Durian Tunjong, Haji Ahad Ahmad serta pengurusan Maahad Tahfiz.

Ismail dan Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Haji Mohammad Tuah turut menghadiri majlis berbuka puasa dan ramah mesra dengan kepimpinan MPP dan Jakmas.

Tamat.