LABUAN – Program Berusah Sungkai telah mengeratkan staf Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Menurut Pengarah Program, Che Din Mohd Salleh, program tersebut yang sudah memasuki tahun ke3 penganjurannya diadakan sebagai salah satu aktiviti staf pada bulan Ramadan.

Katanya, kakitangan UMSKAL memasak juadah berbuka bersama-sama pada sebelah pagi dan agihan kepada semua staf bermula pukul 4 petang.

Beliau menambah, sumbangan kewangan diperolehi daripada pengurusan UMSKAL, Masjid Al-Hikmah UMSKAL, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan dan Fakulti Komputeran dan Informatik, Kelab Kebajikan Kakitangan UMSKAL (KAKAL) dan  staf UMSKAL sendiri.

“Aktiviti memasak dilaksanakan di garaj bas UMSKAL manakala agihan dibuat di kaunter perkhidmatan pelanggan UMSKAL di Bangunan Menara” katanya ketika ditemui selepas mengagihkan juadah kepada kakitangan universiti itu pada 7 Jun lalu.

Kata Che Din, antara menu juadah yang dimasak termasuk ayam masak merah, daging kari bersama kelupis, lontong, makaroni dan tea cincau.

Beliau tidak lupa mengucapkan terima kasih atas sokongan dan komitmen Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik dan Timbalan Pendaftar Kanan, Zamri Haji Mohamad Tuah serta Dekan FKAL, Dr Zaiton Osman dan Dekan FKI, Prof Madya Dr Ag Asri Ag Ibrahim.

“Ucapan terima kasih dan penghargaan juga saya tujukan kepada semua kakitangan yang bertungkus lumus menjayakan program tahunan itu. Semoga menerusi program itu akan mengeratkan lagi hubungan baik antara kakitangan UMSKAL, “katanya.

Tamat.