LABUAN - Seramai 40 pegawai dan kakitangan telah menghadiri Bengkel Standard Operating Procedure (SOP) peringkat Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) yang diadakan di Student Learning Centre (SLC), Bangunan Menara pada 17 – 18 Julai lalu.

Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik menjadi ahli panel bengkel tersebut bersama Timbalan Pengarah, Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal, Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Haji Mohamad Tuah dan Penolong Bendahari Kanan, Mohd Nazir Ab Manan.

Dr Murnizam berkata bengkel tersebut bertujuan untuk memperkemaskan proses kerja agar lebih efesien, mengambil langkah dan tindakan segera untuk manfaat pelanggan utama universiti iaitu pelajar.

Katanya, pihak pengurusan mahu meningkatkan kecekapan proses kerja agar lebih baik dengan menambah baik SOP sedia ada dengan SOP yang baharu.

“Wakil setiap sektor membentangkan SOP yang ada hubungkait dengan semua sektor supaya dapat ditangani dan dipercepatkan. Kita mahu menambahbaik proses kerja sedia ada,”katanya.

Pada masa sama, bengkel SOP itu untuk mengelakkan pertindihan fungsi serta persediaan Smart Campus 4.0.

Dr Murnizam menambah bengkel SOP untuk memudahkan pengurusan pentadbiran dalam menangani permasalahan yang dihadapi pelajar, kakitangan, pensyarah, orang awam dan kontraktor yang menjadi pelanggan universiti.

SOP adalah dokumen yang berkaitan dengan prosedur yang dilakukan secara kronologis untuk menyelesaikan suatu pekerjaan yang bertujuan untuk memperoleh hasil kerja yang paling efektif daripada para pekerja dengan peruntukan yang serendah-rendahnya.

Ianya juga dikatakan sebagai panduan untuk melakukan pekerjaan sesuai dengan fungsi dan penilaian berdasarkan tata kerja, sistem kerja dan prosedur kerja pada unit kerja yang berkaitan.

Secara umum tujuan dari SOP adalah agar pegawai menjaga konsistensi, mengetahui dengan jelas peranan dan fungsi tiap-tiap pegawai dalam organisasi, memperjelas aliran tugas dan tanggungjawab pegawai berkaitan, melindungi organisasi dan pegawai daripada melakukan kesalahan pentadbiran dan menghindari kegagalan atau kesalahan dan keraguan.

SOP yang baik akan menjadi panduan bagi pelaksana, menjadi alat komunikasi dan pengawasan dan menjadikan pekerjaan diselesaikan secara konsisten.

Pada hari pertama diadakan pembentangan Sektor Pembangunan dan Penyelenggaraan serta Sektor Pentadbiran dan Sumber Manusia.

Pada sebelah petang, Seksyen Keselamatan dan Sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi meneruskan pembentangan.

Sektor Hal Ehwal Pelajar dan Sektor Kewangan membentangkan SOP masing-masing pada hari kedua bengkel tersebut.

Lima orang pegawai iaitu Gabriel Moinjil, Mohammad Anwar Abdullah, Inspektor / PB, Adi Yusof, Mohizam Mohamad dan Che Din Md Salleh berharap bengkel SOP dapat diadakan sekurang-kurangnya sekali dalam setahun untuk menyemak semula SOP yang sedia ada untuk ditambahbaik dengan SOP yang baharu.

Sementara itu, Zamri mengucapkan terima kasih kepada semua peserta bengkel dan berharap proses kerja lebih baik dan berkesan dapat dilaksanakan oleh pegawai dan kakitangan UMSKAL.

Tamat.