LABUAN – Kesatuan Kakitangan Am Universiti Malaysia Sabah (Kekaumas) telah mengadakan perjumpaan dengan ahli di UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) di Bilik Seminar Kiamsam pada 20 Julai 2018.

Rombongan Kekaumas induk itu diketuai Presiden, Abd Jalil Sapli bersama mantan Presiden, Amat Jutrah Musnih dan Exco, Othman Rawi.

Manakala Kekaumas KAL diketuai Pengerusinya, Asmadi Abas.

Abd Jalil berkata perjumpaan itu diadakan untuk memberikan maklumat terkini mengenai pentadbiran Kekaumas termasuk aktiviti yang bakal dilaksanakan tahun ini dan tahun hadapan.

Beliau berharap ahli Kekaumas KAL akan terus bersama dalam kesatuan terutamanya yang membabitkan kepentingan kebajikan ahli.

“Kekaumas akan terus menjaga kebajikan ahli termasuk yang berkaitan dengan perjawatan mereka,”katanya.

Asmadi pula akan terus menyalurkan isu yang berkaitan ahli di UMSKAL untuk perhatian dan tindakan Exco Kekaumas dan pengurusan UMS.

Sementara itu, Amat Jutrah yang akan bersara, mengucapkan terima kasih kepada semua ahli Kekaumas yang banyak memberikan kerjasama dan komitmen selama beliau menyandang jawatan tersebut.

“Pemimpin perlu bersedia berkorban untuk memastikan kesatuan terus relevan menjaga kebajikan ahli di UMS,”katanya.

Tamat.