LABUAN – Seramai 52 orang murid Tahun Enam yang juga calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Kebangsaan Rancha-Rancha (Sekolah Kluster Kecemerlangan) telah mengikuti Program Peningkatan Akademik bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik di Podium A, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 28 Julai 2018.

Program tersebut dikendalikan penceramah jemputan program peningkatan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu ialah Haji Md Ramli Sabran yang merupakan jurulatih utama Matematik Jabatan Pelajaran Negeri Perak dan jurulatih kebangsaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Beliau juga merupakan penulis buku kerja dan buku aktiviti Matematik yang berada di pasaran.

Manakala mata pelajaran Matematik dikendalikan Azri Omar yang merupakan jurulatih utama negeri Perak dan salah seorang penggubal soalan Matematik UPSR bagi negeri Perak.

Program ini merupakan kesinambungan program tahunan yang telah dirancang bagi mengukuhkan keyakinan diri, memberi kesedaran dan memantapkan persediaan awal murid-murid sebelum menghadapi UPSR pada September 2018.

Selain itu, objektif program ini adalah untuk memantapkan kemahiran murid menjawab soalan kertas 1 dan kertas 2 Bahasa Melayu dan Matematik UPSR dengan menggunakan teknik dan kaedah menjawab yang betul dan tepat.

Bagi guru-guru pula, program ini dapat meningkatkan kemahiran pedagogi mereka dalam kaedah mengajar murid menjawab soalan dengan tepat dan betul.

Guru Besar SK Rancha-Rancha, Norinnie Kassim dalam ucapannya berharap agar program ini dapat memberi impak kepada semua murid yang menyertai program tersebut.

Beliau juga berharap melalui perkongsian ilmu dan pengalaman penceramah akan membantu meningkatkan prestasi subjek Bahasa Melayu dan Matematik di Wilayah Persekutuan Labuan dalam UPSR pada tahun ini.

 

Tamat.