LABUAN – Seramai 27 Pensyarah dan pelajar pasca siswazah Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah menghadiri Bengkel Inisiatif Strategi Meningkatkan Budaya Penyelidikan di Student Learning Centre (SLC) di ruang legar, Bangunan Menara UMSKAL, pada 7 Ogos 2018.

Bengkel dua hari itu dikendalikan penceramah dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dato’ Dr Morshidi Sirat (gambar) yang juga fasilatator.

Turut hadir Dekan FKI, Prof. Madya Dr. Ag Asri Ag Ibrahim dan Timbalan Pengerusi Bengkel, Dr Muzaffar Hamzah.

Menurut Ag Asri, menerusi bengkel itu pihaknya mahu meningkatkan bilangan penyelidikan dan penerbitan dalam kalangan pensyarah FKI di UMS Labuan.

Katanya, ianya juga untuk menyokong Petunjuk Prestasi Utama (KPI) UMS selain selaras dengan hasrat melahirkan ahli akademik yang berwibawa dalam bidang penyelidikan dan penerbitan.

“FKI mahu menjalinkan kerjasama dengan universiti di dalam dan luar negara khususnya dalam bidang penyelidikan dan penerbitan. Saya berharap lebih ramai pensyarah FKI menjalankan penyelidikan dan penerbitan yang memberi impak kepada UMS dan masyarakat setempat serta antarabangsa,”katanya.

Sehubungan itu, Ag Asri mahu semua pensyarah meningkatkan kualiti dan kuantiti penyelidikan dan penerbitan.

Malah, katanya, kolaborasi dengan universiti luar negara juga selaras dengan status UMS Labuan sebagai IPTA bertaraf antarabangsa.

“Penyelidikan dan penerbitan juga mampu melonjakkan FKI dan UMS amnya di mata dunia selain masyarakat setempat,”katanya.

Tamat.