LABUAN - Seramai 14 kakitangan Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah menerima Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2017 di Café Kesumba, Aras 12, Bangunan Menara UMSKAL pada 7 Ogos 2018.

Manakala lapan orang kakitangan menerima Sijil Anugerah Jasa Bakti 2017.

Semua anugerah disampaikan oleh Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik.

Turut hadir Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Prof. Madya Dr. Ag Asri Ag Ibrahim, Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof Madya Dr Zaiton  Othman dan Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Haji Mohamad Tuah.

Hadir sama ketua-ketua Sektor.

Dr Murnizam berkata majlis itu diadakan sebagai tanda terima kasih atas sumbangan pegawai, pensyarah dan kakitangan terhadap pembangunan UMSKAL secara keseluruhannya.

Katanya, UMSKAL sentiasa menghargai peranan dan khidmat bakti yang dicurahkan warga universiti selama ini.

“Kita akan sentiasa menghargai kecemerlangan kakitangan terhadap pembangunan universiti khususnya UMSKAL pada tahun lalu, “katanya.

Beliau juga berharap menerusi anugerah itu, semua kakitangan akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan termasuk pelajar dan warga Labuan amnya.

Pada majlis itu, UMSKAL turut menerima anugerah peringkat UMS iaitu naib johan Pengurusan Kewangan Terbaik dan naib johan Laman Web kategori Pentadbiran yang masing-masing diwakili Penolong Bendahari Kanan, Mohd Nazir Ab Manan dan Pegawai Teknologi Maklumat Kanan, Ismetzulfiqar Ahmad Shaffe.

Tamat.