LABUAN - Seramai 24 Pengawas Pusat Sumber Kolej Vokasional Labuan (KVL) telah menghadiri Bengkel Penulisan Berita Asas yang diadakan di Pusat Sumber KVL pada 11 Ogos 2018.

Bengkel dua jam yang bernula pukul 9.30 pagi itu dikendalikan oleh Fotografi Kanan Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Azri Onn Haji Othman.

Beliau yang juga Editor Laman Wab universiti berharap perkongsian ilmu kewartawanan itu dapat menyuntik semangat pelajar menghasilkan bahan berita berkaitan KVL khususnya Pusat Sumber.

Sementara itu, Ketua Unit Pusat Sumber KVL, Dk Rubiah P Ibrahim berkata bengkel penulisan itu diadakan sempena Bulan Pusat Sumber KVL 2018.

Katanya, peserta bengkel itu terdiri daripada Pengawas Pusat Sumber dan pelajar SVM (Sijil Kemahiran Malaysia) Tahun 1 dan 2.

Beliau berkata bengkel itu bertujuan untuk menarik minat pelajar dalam bidang penulisan dan mengetahui kemahiran penulisan berita yang betul dan menarik.

“Saya berharap pelajar yang menyertai bengkel tersebut akan mengaplikasikannya ketika menghadiri pelbagai program bukan sahaja di Pusat Sumber tetapi juga program lain di Kolej Vokasional Labuan,”katanya.

Tiga orang guru iaitu Siti Suhaibah Hasbullah selaku Penyelaras Program, Intan Nur Liyana Mansor (Penyelaras Program Nilam) dan Raihanah Abdul Jalall (Penyelaras Promosi & Publisiti) turut menyertai bengkel tersebut.

Dk Rubiah berkata program yang julung kalinya diadakan itu turut mendapat sokongan daripada Pengarah KVL, Hajah Siti Muslihah Leeudin.

“Pengarah KVL sentiasa menggalak dan mengalu-alukan penganjuran pelbagai program yang mendatangkan manfaat kepada pelajar. Mereka boleh menggunakan ilmu yang diperolehi untuk mempromosikan organisasi termasuk kampung mereka selepas menamatkan pengajian kelak,”katanya.

Dk Rubiah yakin menerusi promosi dan publisiti pelbagai program itu akan menaikkan nama KVL kepada masyarakat termasuk ibu bapa pelajar.

Dalam pada itu, Nur Fazlin Hamidah Morshidi memenangi hadiah pertama latihan menulis berita diikuti tempat kedua, Mohd Roslee Abd Rahim dan ketiga, Datu Mohd Adha.

“Kami sangat bertuah mendapat pendedahan mengenai teknik penulisan berita yang sebenar. Saya yakin kami dapat membantu guru menghasilkan buletin dan laman web yang lebih berkualiti selepas ini untuk memberikan publisiti kepada KVL kepada masyarakat,”kata Nur Fazlin.

Tamat.