LABUAN – Seramai 7 orang kakitangan pentadbiran dan 2 pensyarah Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Blok Psikologi telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), kelmarin.

Lawatan sehari itu diketuai Pensyarah Psikologi, Aminuddin Ibrahim Lastar bersama Ketua Program Psikologi Kaunseling, Dr Norzihan Ayub.

Aminuddin berkata lawatan kali pertama itu bertujuan untuk meningkatkan pengurusan mengenai Ekosistem Kondusif Sektor Awam (Eksa) di UMSKAL untuk digunapakai di FPP Blok Psikologi.

“Kakitangan pentadbiran dan pensyarah FPP Blok Psikologi mahu berkongsi idea mengenai pengurusan pentadbiiran Eksa yang ada di UMS Labuan,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik di pejabatnya di Aras 13, Bangunan Menara, kelmarin.

Dr Murnizam berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan lawatan sambil belajar bukan sahaja daripada kakitangan, pensyarah dan pelajar UMS sendiri tetapi juga IPTA yang lain di negara ini.

Rombongan kakitangan dan pensyarah itu turut dibawa melihat panorama menarik Pulau Labuan dari Aras 13 UMSKAL.

Dalam lawatan siugkat itu, mereka turut melawat Pusat Perkembangan Autisme Labuan dan diberi taklimat oleh Pengerusinya, Shaffry Mohd. Sarif.

Pada sebelah petang, mereka mendengar taklimat Eksa daripada Ketua Eksa UMSKAL, Mas Adi Alimin serta melawat Makmal FKI, Pejabat Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan dan Sektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA).

 Aminuddin mengucapkan terima kasih atas komitmen Dr Murnizam, pegawai dan kakitangan UMSKAL khususnya yang berkaitan Eksa selain pengurusan autism.

“Banyak yang kami pelajari daripada lawatan ke UMS Labuan terutama pengurusan eksa. Terima kasih kepada pengurusan UMSKAL, pegawai dan kakitangan yang menjayakan program kami,”katanya.

Tamat.