LABUAN - Program Minggu Kewangan Islam merupakan sebuah program yang berobjektifkan untuk memberi pendedahan kepada semua mahasiswa UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dan warga Labuan mengenai kewangan Islam.

Pengarah Program, Mohd Nur Saifuddin Samudin berkata program ini juga dijalankan selama seminggu bagi memperkukuhkan pengetahuan mengenai asas kewangan Islam dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat Labuan.

Sehubungan dengan itu, program ini memberi penerangan yang lebih jelas dan mendalam tentang produk-produk kewangan Islam yang terdapat di Malaysia.

Minggu Kewangan Islam adalah satu program kendalian Persatuan Mahasiswa Kewangan Islam yang bertitik tolak kesedaran daripada Majlis Tertinggi Jurusan Kewangan Islam yang melihat bagaimana program ini mampu memberi kesedaran kesedaran yang sangat tinggi buat mahasiswa UMSKAL dan masyarakat Labuan.

“Jika dipandang melalui skop negara kita, Malaysia berpotensi menjadi peneraju dalam pasaran kewangan Islam berikutan peranannya yang besar dalam menyumbang kepada kejayaan pembangunan ekonomi Islam secara global,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena majlis perasmian Program Minggu Kewangan Islam yang disempurnakan oleh Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof Madya Dr. Lee Hock Ann pada 6 Mac 2019.

Turut hadir Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni FKAL, Dr. Suzillah Sidek, Ketua Program HE23, Najwa Mohd Khalil dan Penyelaras Program, Ahmad Aizuddin Hamzah.

Turut diadakan pameran institusi kewangan termasuk Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Bank Islam, Bank Rakyat dan Maybank.

Selain itu, bicara santai yang menampilkan pensyarah FKAL, Prof Madya Dr Hanudin Amin dan Timbalan Pengarah PPZ Labuan, Ustaz Ahmad Adha serta ceramah Masa Depan Kewangan Islam oleh Ketua Bahagian Penasihat shariah RHB Bank, Ahmad Mukarrami Ab Mumin.

Pengurus Negara Bank Dunia (Malaysia), Dr Firas Raadm berkata kewangan Islam mempunyai potensi besar untuk menyokong asporasi dunia dalam membanteras isu kemiskinan dan menggalakkan kemakmuran.

Malaysia mempunyai peranan yang besar dalam pasaran ini dan ia harus diteruskan untuk masa-masa akan datang.

Peranan ini haruslah bermula dari pendedahan terhadap masyarakat Malaysia melalui pendidikan di institusi pengajian tinggi Malaysia dan inilah seperti apa yang kita lakukan sekarang, mewujudkan Program Minggu Kewangan Islam sebagai inisiatif untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada komuniti.

Oleh yang demikian, walaupun secara relatifnya kewangan Islam masih baharu berbanding sistem kewangan konvensional, sistem kewangan Islam diharap boleh menjadi pemangkin dan alat bagi mencapai matlamat ekonomi Islam yang digariskan oleh cendekiawan Muslim.

Mohd Nur Saifuddin mengucapkan syabas dan tahniah kepada penggerak program Minggu Kewangan Islam yang bekerja dan bertungkus-lumus bagi menjayakan program tersebut.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung memberikan kerjasama serta menyumbang tenaga mahupun kewangan dalam menjayakan program tersebut.

Mohd Nur Saifuddin berharap agar program yang dianjurkan ini dapat melahirkan individu yang berkualiti dan berpengetahuan tinggi serta cakna dalam urusan sistem kewangan Islam.

“Semoga bentuk kerjasama dan komitmen yang terjalin ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi menjayakan program seumpamanya,”katanya.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Dr. Suzillah Sidek pada 9 Mac 2019.

Tamat.