LABUAN - Sebanyak 28 pasukan bakal berentap dalam pertandingan Debat Terbuka Ekonomi Piala Pengarah (DTEPP) Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) 2019 pada 12- 14 April ini.

Selain pendebat dari UMS induk dan UMSKAL, pasukan lain yang bakal memberikan saingan ialah dari USIM, UPSI UiTM Sabah, UiTM Sarawak dan Unimas.

Turut mengambil tahun ini ialah SMASH, UiTM Kuala Pilah dan UiTM Shah Alam.

Debaran pendebat semakin hampir apabila majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Mohamad Tuah yang mewakili Pengarah UMSKAL, Prof Dr Murnizam Haji Halik pada 5 April 2019.

Turut hadir Penolong Pendaftar Sektor Hal Ehwal Pelajar, Mohd Fadzli Sarudi, Penyelaras Program DTEPP 19, Dr Suzillah Sidek, wakil Majlis Perwakilan Pelajar, Nadia Mohd Arif Teo dan Pengarah Program, Aswanethra a/p muralitharan.

Zamri berharap pendebat UMSKAL akan berlatih lebih gigih untuk memberikan saingan sengit kepada pasukan lain termasuk wakil IPT dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Katanya, inilah ruang dan peluang kepada pelajar untuk menunjukkan bakat dan kebolehan dalam arena perdebatan khususnya bidang ekonomi.

Beliau turut menyeru semua pelajar dan warga UMSKAL untuk memberikan sokongan moral bukan sahaja kepada pasukan tuan rumah tetapi juga pertandingan tersebut.

Pada masa sama, Zamri menasihatkan pelajar agar memberikan layanan yang terbaik kepada wakil pasukan dari luar UMSKAL yang menjadi duta kecil pasukan masing-masing.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah bakal disempurnakan Pengarah UMSKAL, Prof Dr Murnizam Haji Halik.

Tamat.