LABUAN - Persatuan Autisme Labuan dengan kerjasama UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah mengadakan Sambutan Hari Autisme dan Semarak Biru Tahun 2019 pada 6 April 2019.

Pengerusi Pusat Perkembangan Autisme UMSKAL, Zakiah Hassan berkata objektif sambutan ini adalah untuk meraikan dan menghargai insan istimewa yang menghidap autisme dan memupuk kesedaran tentang masalah autisme dalam kalangan masyarakat dan pelajar universiti sendiri.

Selain itu juga, bagi mengurangkan diskriminasi terhadap golongan yang mempunyai masalah austisme dan menyemai rasa kasih sayang dalam setiap diri masyarakat serta pelajar.

Sambutan yang diadakan pada 6 April 2019 (Sabtu) bermula dari jam 7 hingga 10 malam itu memberi peluang kepada ibu bapa, pendidik serta pelajar bersama-sama hadir bagi menyambut Hari Autisme dan Semarak Biru.

Antara aktiviti yang diadakan adalah persembahan laskar pelangi dan aktiviti dan Acara Lantern Walk Light it Blue.

Persatuan Austime Labuan sebagai penganjur utama berharap sambutan ini akan dapat memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat agar lebih peka terhadap keadaan pesakit Autisme serta supaya masyarakat akan mengetahui dengan lebih mendalam mengenai latihan dan pendidikan yang dilalui oleh para pelajar Autisme.

Majlis yang bertemakan “Different Not Less” itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli.

Turut hadir Timbalan Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal dan Pengarah Pusat Perkembangan Autisme Labuan, Saffry Mohd Sarif serta Pengarah Program, Radzlan Ismail.

Pada majlis itu, Rozman mengumumkan sumbangan sebanyak RM5,000 untuk membantu menjayakan pelbagai program pusat tersebut.

Turut diadakan penyampaian sijil penghargaan kepada guru-guru dan sukarelawan yang menjaga kira-kira 40 kanak-kanak autisme yang berumur 12 tahun ke bawah.

Sementara itu, Saffry merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pelbagai pihak yang banyak membantu pusat tersebut termasuk Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli dan Pengarah UMSKAL, Prof Dr Murnizam Haji Halik.

“Ucapan terima kasih kepada semua para penyumbang, ibu bapa dan sukarelawan UMSKAL serta agensi kerajaan terbabit, “katanya.

Tamat.