LABUAN - Program Bertemu Pelanggan Sektor Hal Ehwal Pelajar (SHEP) UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) 2019 adalah program yang diadakan untuk mendapatkan maklumbalas pelanggan SHEP, iaitu pelajar, mengenai tahap kualiti perkhidmatan yang diberikan yang berkaitan dengan pelajar oleh Sektor Hal Ehwal Pelajar UMSKAL sejajar dengan KRA 4 iaitu memperkukuhkan tadbirurus kepimpinan dan sistem penyampaian dan memenuhi KRA 8 iaitu mempertingkatkan pengalaman holistik pelajar.

Justeru itu, sebagai sektor yang bertanggungjawab dalam menguruskan pentadbiran dan kebajikan pelajar, sektor ini ingin meningkatkan kualiti perkhidmatan penyampaian dan kecekapan dengan menilai maklumbalas daripada pelajar.

Pengarah UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Prof Dr Murnizam Haji Halik (gambar) berkata perkhidmatan berasaskan integriti, mesra, cekap dan bersedia memenuhi kehendak pelanggan dengan penuh tanggungjawab amat penting agar kepentingan pelajar tetap dijaga.

Katanya, sejajar dengan pembudayaan Revolusi Industri 4.0, pihak pengurusan HEP membuat kaji selidik ini lebih mudah diakses.

“Saya berharap agar ahli dan sekretariat Majlis Perwakilan Pelajar, JAKMAS dan Persatuan Mahasiswa Fakulti sama-sama membantu dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan Sektor Hal Ehwal Pelajar dengan mewar-warkan perkara ini kepada semua pelajar UMSKAL turut serta dan mengambil bahagian dalam pengisian borang maklumbalas pelanggan SHEP,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Bulan Bertemu Pelanggan SHEP Tahun 2019 di Ruang Legar Bangunan Menara UMSKAL, pada 9 April 2019.

Turut hadir Timbalan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Suani Sura, Ketua Sektor Hal Ehwal Pelajar, Nur Iman Reedzal, Penolong Pendaftar Kanan, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Noraini Haji Samsu, Penolong Pendaftar Sektor Pentadbiran Dan Sumber Manusia, Mas Adi Alimin dan Pengarah Program, Earlene Kasamira Vashti Edham (gambar) serta Penolong Pendaftar SHEP, Mohd Fadzli Sarudi.

Hadir sama barisan kepimpinan pelajar.

Dr Murnizam berkata dengan komitmen semua pihak dalam menjayakan satu-satu program yang diadakan di UMSKAL ini, akan menaikkkan UMS sebagai universiti awam yang cemerlang dan antara IPTA yang terbaik di peringkat kebangsaan dan seterusnya antarabangsa.

Sementara itu, Earlene berkata sepanjang Bulan Bertemu Pelanggan SHEP UMSKAL 2019, pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti Kuiz Teka Silang Kata, Kuiz Teka Siapa Saya, pertandingan mencipta slogan dan tagline SHEP, Kuiz Tak Kenal Maka Tak Cinta dan pertandingan menulis esei pendek berkenaan dengan pengalaman pelajar berurusan dengan SHEP.

Borang penyertaan boleh diperolehi di kaunter pejabat am Sektor Hal Ehwal Pelajar Aras 2 dan peserta boleh melawat laman rasmi facebook SHEP untuk mendapatkan maklumat mengenai syarat-syarat pertandingan tersebut.

Tamat.