LABUAN - Lima orang pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Wilayah Persekutuan Labuan telah menjalankan Audit Luar Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) di UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 10-11 April lalu.

Mereka ialah Mohd Firdaus Muhamad selaku Ketua Juruaudit yang dibantu oleh Hamid Anuar Amirullah, Zuria Aminsin, Junaidah Ashari dan Tuty Suziani Sukimin.

Menurut Timbalan Pendaftar Kanan, Zamri Mohamad Tuah, Audit Luar EKSA itu bertujuan untuk pensijilan semula EKSA 2019.

Katanya, untuk mencapai misi UMS mendapatkan pensijilan cemerlang dalam EKSA oleh MAMPU pada tahun ini, aktiviti gotong royong membersih kawasan sekitar dan mengemaskan pejabat telah dilaksanakan pada 9 April lalu yang diketuai oleh Mas Adi Alimin selaku Ketua EKSA UMSKAL.

“Selain itu, pertandingan amalan EKSA juga turut diadakan untuk menganugerahkan sektor dan jabatan yang terbaik dalam mengamalkan EKSA,”katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan dan taklimat oleh Juruaudit JPS di Bilik Seminar Kiamsam pada 11 April 2019.

Turut hadir Ketua-ketua Eksa Sektor, Pusat dan Fakulti.

Zamri berkata akan ada dua lagi siri audit luar daripada jabatan luar dan dua siri audit dalaman sebelum penilaian dan auditan oleh pihak MAMPU.

Beliau berharap semua warga UMSKAL akan terus mengamalkan EKSA yang banyak memberi manfaat kepada mereka untuk menjalani tugas seharian di pejabat.

UMS memiliki Sijil EKSA daripada MAMPU dari 1 Disember 2017 hingga 30 November 2019.

Tambah Zamri, seluruh kawasan kampus diaudit berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh MAMPU.

Tamat.