LABUAN - SMK Pantai IB World School Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama PIBG SMK Pantai telah mengadakan Program Motivasi untuk murid Tingkatan 2 dan Tingkatan 4 SMK Pantai di Dewan Gemilang sekolah pada 9 – 11 April.

Program dua hari itu dikendalikan sepenuhnya oleh para pensyarah Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) yang diketuai oleh Dekan FKI, Profesor Madya Dr. Ag Asri Ag. Ibrahim.

Beliau dibantu oleh Dr Muzaffar Hamzah, Dr Zamhar Iswandono Ismail, Dr Nooralisa Mohd Tuah dan Dr Esmadi Abu.

Pengetua SMK Pantai IB World School, Sahar Misron berkata seramai 178 orang pelajar Tingkatan 2 dan 182 pelajar Tingkatan 4 menghadiri program tersebut.

Katanya, para pensyarah secara berpasukan berkongsi maklumat mengikut kepakaran masing-masing.

“Perkongsian slot ceramah meliputi tajuk kenali personaliti diri, peningkatan sahsiah murid, motivasi diri dalam pembelajaran dan kerjaya,”katanya.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada pensyarah FKI UMSKAL dan AJK PIBG kerana turut menjayakan program tersebut.

Murid-murid yang mengikuti program itu sangat gembira diberi peluang mengikuti program tersebut yang sesuai dengan jiwa remaja dan situasi semasa diadun dengan ilmu bermanfaat.

Turut hadir dalam program itu ialah Kaunselor Sekolah, Aman Rashiak dan guru-guru SMK Pantai IBWS.

Tamat.