LABUAN – Pasukan USIM B mengungguli Pertandingan Debat Terbuka Ekonomi Piala Pengarah (DTEPP) Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) 2019 yang berlangsung pada 12- 14 April lalu.

USIM B yang dibarisi Muhammad Adam Muhammad Azmi dan Fatin Izzati Muhd Zamuari yang bertindak sebagai Kerajaan Pembuka membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, Piala Pusingan, plak dan sijil penyertaan.

UITM Sabah A yang menduduki naib johan meraih RM700 menerusi gandingan Omar Sarif Omal Lamin dan Masflie Tinggian sebagai Pembangkang Penutup.

Pembangkang Pembuka yang diwakili pendebat USIM A, Nurul Aisyah Aminurrahman dan Azlinie Othman menduduki tempat ketiga dengan wang tunai RM400 dan sijil.

UNIMAS B yang bertindak sebagai Kerajaan Penutup menduduki tempat keempat menerusi pendebatnya, Muhammad Haris Huda dan Siti Raihana Muhammad Dahalan untuk menerima RM250 dan sijil penyertaan.

Keempat-empat pendebat membincangkan tajuk ‘Projek Kereta Nasional Kedua Perlu Digalas Oleh Industri Bukan Kerajaan’.

Kem USIM terus ceria selepas pendebatnya, Azlinie Othman dinoabatkan sebagai Pendebat Terbaik Keseluruhan manakala Omar Sarif Omal Lamin dari UiTM Sabah A memenangi anugerah Pendebat Terbaik di pusingan akhir yang berlangsung sengit.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah UMSKAL, Prof Dr Murnizam Haji Halik di Dewan Utama UMSKAL, pada 14 April 2019.

Turut hadir Timbalan Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) yang juga Penyelaras Program DTEPP 19, Dr Suzillah Sidek, pemilik Moorthy Mini Market Labuan, Datuk Ramasamy Rengasamy, wakil Majlis Perwakilan Pelajar, Nadia Mohd Arif Teo dan Pengarah Program, Aswanethra a/p Muralitharan.

Pertandingan akhir debat itu dikendalikan Yang Dipertua, Mohamad Fariq Mohamad Ghazali bersama penjaga masa, Nurshanty Gerald.

Manakala barisan juri terdiri daripada Alumni Debat Universiti Malaysia Sabah (UMS), Izzat Amirul selaku Ketua Juri.

Beliau dibantu Norzatul Bardah Sabaruddin (Alumni Debat Universiti Malaysia Sabah), Mohd Farik Madum (Guru Bahasa Melayu yang juga Munsyi Dewan Bahasa, Pegawai Teknikal Bahas Bahasa Melayu Sekolah Menengah WP Labuan dan Alumni Debat IPG Kampus Gaya, Sabah), Samsulbahri Mohd Nasir (Pensyarah Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan) dan Zulhairi Isnean (Pegawai Pembangunan Eknomi Jabatan Belia dan Sukan Labuan).

Program yang berlangsung selama tiga hari itu mendapat tajaan daripada Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Labuan, Moorthy Mini Market Labuan, Lazenda Hotel, Roti Ikhwan Labuan, Rancha-Rancha Aerated Water Co, D’Florist, Maju Harmoni Tours and Travel, Warisan Optometric, Sugarbun Labuan dan K&N Catering.

Sebanyak 28 pasukan IPT dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung selain tuan rumah Labuan menyertai debat tersebut.

Pasukan tersebut ialah UMS Induk, UMSKAL, USIM, UPSI, UiTM Sabah, UiTM Sarawak, Unimas, SMASH, UiTM Kuala Pilah dan UiTM Shah Alam.

Dalam ucapannya, Prof Dr Murnizam yakin menerusi pertandingan tersebut lebih ramai mahasiswa yang berwibawa dalam perdebatan dapat dilahirkan sekaligus bakal menjadi pemimpin negara pada masa akan datang.

“Kita mahu mahasiswa yang mampu melontarkan idea yang bernas dalam bidang ekonomi dan bertindak bijak dalam menangani pelbagai isu yang dihadapi golongan tersebut di IPT,’katanya.

Selain itu, Dr Murnizam mahu mahasiswa meningkatkan kemahiran berkomunikasi terutama dalam Bahasa Inggeris ketika menghadiri temuduga.

Beliau tidak lupa merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada AJK Pengelola dan pihak penaja yang turut menjayakan DTEPP 2019.

“Saya berharap pasukan IPT dari seluruh negara akan datang lagi pada tahun akan datang kerana DTEPP akan menjadi acara tahunan UMSKAL,”katanya.

Dr Murnizam yakin kehadiran peserta dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung itu turut membantu menjana ekonomi dan merancakkan industri pelancongan tempatan.

Pusingan akhir itu dimeriahkan dengan persembahan tarian oleh penari Taming Mas dari UMSKAL.

Tamat.