LABUAN - Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Labuan dan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah menganjurkan Bengkel Kejurulatihan Level Up@ Schools pada 18 hingga 19 April.

Bengkel dua hari itu disampaikan oleh Pensyarah Kanan FKI, Dr. Zamhar Iswandono Ag. Ismail di Aras 9 Windows Lab, Bangunan Menara UMS Labuan dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

Manakala Senior Executive Capacity and Competency Interactive Media daripada MDEC Khairunnisa Saharuddin bertindak sebagai penyelaras program.

Khairunnisa berkata bengkel tersebut merupakan program pembangunan aplikasi permainan video melalui pelbagai platform (cross platform video game engine) melibatkan 160 sekolah menengah terpilih di seluruh negara.

Katanya, di Wilayah Persekutuan Labuan, sebanyak 10 buah sekolah menengah iaitu SM Sains Labuan, SMK Labuan, SMK Pantai, SMK Lajau dan SMK Taman Perumahan Bedaun.

Selain itu, SM St. Anne, SM St. Anthony, SMK Mutiara, SMK Rancha-Rancha dan SM Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Setiap sekolah menghantar seorang guru pengiring dan 3 orang pelajar berumur antara 14 dan 16 tahun yang celik IT dan berminat dalam mempelajari pembangunan permainan digital game development,”katanya ditemui di makmal tersebut.

Program itu diadakan setahun sekali dan pada sesi 2018/2019 kali kedua MDEC bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Labuan dan FKI Labuan. 

Dekan FKI, Prof Madya Dr Ag Asri Ag Ibrahim berharap pada akhir bengkel itu, pelajar berupaya membina permainan video dan digalakkan menyertai pertandingan ‘Levelup @ Schools Game Award’ yang akan diadakan sempena Mydigitalmaker Fair di Kuala Lumpur pada 14 – 15 September depan.

Tamat.