LABUAN – Seramai 413 pelajar Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) yang mengambil kursus Asas Pembudayaan Keusahawanan (APK) menjayakan program tersebut pada 19-21 April 2019.

Program yang bertemakan Fete n Fiesta itu menyediakan pelbagai acara menarik termasuk autoshow vintage car, fantasy light, escape room, mini fun fair dan karaoke santai.

Majlis pelancaran APK 2019 disempurnakan oleh Pengarah UMSKAL, Prof Dr Murnizam Haji Halik di astaka padang bola sepak pada 19 April 2019.

Penyelaras Program, Samsulbahri Mohd Nasir berkata APK 2019 diadakan dari pukul 8 pagi hingga 11 malam di persekitaran kampus tersebut.

“Kami menyediakan 41 gerai pelajar dan 7 gerai luar untuk dikunjungi warga Wilayah Persekutuan Labuan selain pelajar dan kakitangan UMSKAL sendiri,”katanya.

Turut hadir tiga lagi pensyarah yang mengajar subjek APK iaitu Dr. Mohd Fahmi Ghazali, Ahmad Aizuddin Hamzah dan Nurul Izzati Abd Razak serta Penyelaras PPIB, Dr Nurulasyikin Muda.

Samsulbahri yang juga Pensyarah APK berkata program tersebut adalah praktikal daripada teori yang dipelajari dalam kuliah.

“Menerusi program APK ianya dapat membantu meningkatkn pendapatan pelajar,”katanya.

Jelas Samsulbahri, sebelum ini mereka telahpun memulakan perniagaan secara online sejak minggu keempat semester lagi dan diteruskan sehingga hujung semester ini.

Sementara itu, Prof Dr Murnizam berharap melalui program APK ini, pelajar dapat merasai sendiri bagaimana menjadi usahawan yang mengusahakan pelbagai jenis cabang perniagaan seperti produk makanan dan bukan makanan, perkhidmatan, pengurusan acara dan sukan.

Beliau juga berharap pelajar akan menjadikan bidang keusahawanan sebagai kerjaya yang mampu memberikan pulangan yang lumayan kepada mereka sekaligus menyara keluarga pada masa akan datang.

“Inilah ruang dan peluang yang disediakan oleh pihak universiti kepada pelajar untuk mempelajari sesuatu yang baharu selain belajar dalam bidang masing-masing,”katanya.

Prof Dr Murnizam tidak lupa mengucapkan tahniah dan syabas kepada AJK Penganjur yang diketuai Pengarah Program, Aswanethra a/p Muralitharan yang berusaha gigih memastikan program APK 2019 mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung.

Tamat.