LABUAN – Pengarah Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Prof Dr Murnizam Haji Halik telah menerima kunjungan hormat Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Labuan, Amirul Hadi Idham di Bilik Mesyuarat Eksekutif, Aras 13, Bangunan Menara UMSKAL pada 23 April 2019. 

Dalam pertemuan kira-kira satu jam itu, kedua-dua pihak membincangkan program Food Bank yang akan dilaksanakan di universiti tersebut tidak lama lagi. 

Turut dibincangkan pelbagai isu berkaitan kepenggunaan termasuk yang membabitkan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) di UMS Labuan. 

KPDNHEP Labuan juga akan mengadakan pelbagai program kepenggunaan yang membabitkan mahasiswa di UMS Labuan. 

“KPDNHEP Labuan akan membantu mahasiswa UMSKAL menerusi program Food Bank yang akan dilaksanakan tidak lama lagi,”kata Amirul. 

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal, Ketua Sektor Hal Ehwal Pelajar, Nur Iman Reedzal selaku urusetia, Penolong Bendahari Kanan, Mohd. Nazir Ab. Manan dan Ketua Seksyen Kepenggunaan KPDNHEP, Asmidar Haji Muh Nawir. 

Sementara itu, Dr Muznizam berkata pihaknya sedia bekerjasama dan membantu KPDNHEP menjayakan program food bank tersebut. 

“Kami akan menyediakan lokasi dan infrastruktur yang sesuai agar program food bank itu mencapai matlamatnya,”katanya. 

Pada masa sama, beliau berharap kedua-dua pihak akan menjalinkan lebih banyak kerjasama termasuk mengadakan program kepenggunaan yang membabitkan mahasiswa dan kakitangan UMSKAL.

Tamat.