LABUAN - Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah menerima lawatan sambil belajar pensyarah dan pelajar Kelab L’Investisseur (Diploma Analisis Pelaburan) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu, Kampus Dungun, kelmarin.

Ketibaan rombongan seramai dua pensyarah dan 25 pelajar itu disambut oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FKAL, Dr Suzillah Sidek dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi FKAL, Dr Sarina Puasa serta Penolong Pendaftar Kanan FKAL, Noraini Samsu.

Sejurus sesi bergambar, Suzilah dan Sarina menyampaikan taklimat mengenai FKAL termasuk program dan kursus yang ditawarkan fakulti tersebut.

Sementara itu, Penasihat Kelab L’Investisseur, Suhaily Maizan Abdul Manap berkata lawatan itu bertujuan untuk mendedahkan pelajar kepada program yang ditawarkan di FKAL dan aktiviti yang dijalankan oleh pelajar di fakulti tersebut.

“Lawatan julung kalinya itu juga mahu menjalinkan kolaborasi dengan FKAL dalam bidang yang sesuai.

“Mungkin juga ada ruang dan peluang pelajar kami untuk melanjutkan pelajaran ke FKAL pada masa hadapan, “katanya ketika menyanpaikan ucapan terima kasih kepada FKAL di Bilik Seminar Kiamsam, Bangunan Menara UMS Labuan pada 26 April 2019.

Hadir sama pensyarah FKAL.

Rombongan tersebut turut dibawa melawat ruang FKAL dan Aras 13 sambil menikmati pemandangan menarik Wilayah Persekutuan Labuan.

Selain FKAL, pelajar tersebut turut mendengar taklimat di Pusat Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan FSA) di Kompleks Ujana Kewangan Labuan.

Suhaily bersama seorang lagi pensyarah Nurul Syuhada Baharuddin mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan komitmen FKAL menjayakan program tersebut.

“Ini juga merupakan peluang untuk kami melihat sendiri pembangunan pesat di Wilayah Persekutuan Labuan,”katanya.

Sementara itu, Dr Suzillah berkata Dekan DKAL, Prof Madya Dr Zaiton Othman sentiasa mengalu-alukan lawatan dan kerjasama daripada pensyarah dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara dan luar negara ke FKAL.

Tamat.