LABUAN – Pada 2 Mei 2019, seramai 20 orang pelajar dan lima orang guru pengiring Unit Pengurusan Perniagaan Kolej Vokasional Labuan (KVL) telah mengadakan lawatan ke Sektor Kewangan, Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Rombongan program tersebut diketuai Ketua Unit Pengurusan Perniagaan KVL, Alrenette Grance James bersama empat pensyarahnya iaitu Farah Sha’adah Hamzah, Noor Adelia Ahmad Othman, Hafizah Drahman dan Nurulhuda Mohd Kamil.

Alrenette berkata pelajar tersebut merupakan pelajar Tahun Dua Diploma Pengurusan Perniagaan dan pelajar Pra Diploma Pengurusan Perniagaan.

Katanya, lawatan sambil belajar itu bertujuan untuk memberi pendedahan awal tentang pengurusan aset dan inventori kepada pelajar tersebut.

Selain itu, beliau berkata untuk mengenalpasti keperluan aset pejabat dan pengurusan inventori yang betul.

“Ia juga bertujuan untuk mengenalpasti cara merekod aset pejabat dan pengurusan aset yang betul dan berkesan, “katanya ditemui selepas majlis taklimat Pengurusan Aset dan Inventori daripada Ketua Sektor Kewangan, Mohd Nazir Ab Manan di Bilik Seminar Layangan, Aras 11, Bangunan Menara UMS Labuan.

Taklimat mengenai UMSKAL pula disampaikan oleh Penolong Pendaftar Kanan yang juga Ketua Sektor Pentadbiran dan Sumber Manusia, Mas Adi Alimin.

Turut hadir Penolong Bendahari Kanan, Mohamad Anwar Abdullah dan Penolong Bendahari, Noradiana Ibrahim.

Rombongan pelajar dan pensyarah Pengurusan Perniagaan turut melawat Makmal Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) di Tingkat 9 yang dikendalikan Pembantu Makmal Kanan, Puan Ezy @ Norol Atikah Sabtu.

Pelajar dan pensyarah turut teruja selepas melawat Aras 13 yang menempatkan Pejabat Pengarah UMSKAL dan lokasi melihat anak bulan.

Dalam ucapan ringkasnya, Alrenette mengucapkan terima kasih atas layanan dan kerjasama Sektor Kewangan dan SPSM yang mengendalikan lawatan sambil belajar yang bermula pukul 2 hingga 5 petang itu.

Beliau berharap menerusi program itu, pelajar akan memanfaat ilmu yang diperolehi semasa sesi pembelajaran dan pengajaran di bilik kuliah kelak.

“Lebih banyak kerjasama dapat dijalinkan antara KVL dengan UMSKAL yang merupakan IPTA tunggal di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Banyak maklumat dapat diperolehi bukan sahaja oleh pelajar tetapi juga pensyarah Pengurusan Perniagaan KVL,”katanya.

Tamat.