LABUAN - Umat Islam di Malaysia mula berpuasa pada Isnin, 6 Mei 2019, demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad.

Syed Danial berkata, tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari itu menurut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Jawatankuasa berkenaan melihat anak bulan Ramadan di 29 lokasi di seluruh negara.

Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

Di Wilayah Persekutuan Labuan, Ketua Penolong Mufti, Ustaz Mohd Sukri Abd Ghani mengetuai Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan pada Majlis Cerapan Anak Bulan Ramadan 1440 Hijrah di Tingkat 13, Bangunan Menara, Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 5 Mei 2019.

Turut bersama beliau ialah Hakim Mahkamah Syariah, Mohd Fazil Hasan @ Che Hasan, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan, Ustaz Sabarudin Hasan dan Pengurus Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Cawangan Labuan, Ustaz Ahmad Saifuddin Haji Md Tahir.

Selain itu, Timbalan Ketua USIA Bahagian Labuan, Datuk Haji Abdul Rahman Haji Lamudin dan Noralip Hassanuddin dari Perbadanan Labuan manakala Ustaz Agku Bolkhizan A Ahmad Thani bertindak sebagai Setiausaha.

Selepas melihat anak bulan, semua AJK menunaikan solat Maghrib berjemaah di Bilik Anggerik dan menikmati jamuan makan malam di Bilik Sri Menanti.

Majlis Cerapan Anak Bulan Ramadan itu turut mendapat kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupen) dan UMSKAL.

Tamat.