LABUAN - Program Ziarah Ramadan UMSKAL 2019 yang dianjurkan Sektor Hal Ehwal Pelajar (SHEP) Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 16 dan 17 Mei lalu berjalan dengan jayanya.

Pada tahun ini, rombongan UMSKAL menziarahi Pusat Dalam Komuniti Jalan Tenaga, PDK Mutiara Ganggarak, Pusat Madrasah Tahfiz Al-Quran Sri Merinding, golongan asnaf di Kampung Batu Arang, Bandar Labuan, Bukit Kuda, Sungai Miri, Bebuloh, Belukot, Sungai Buton, Sungai Keling dan Pohon Batu.

Penyelaras Program, Norenna Jufri berkata program pada tahun ini mendapat kerjasama daripada Sektor Hal Ehwal Islam dan Masjid (SHEIM), Islamic Relief) dan Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita (KESUMBA) UMS.

Katanya, seramai 20 asnaf menerima sumbangan daripada kakitangan UMS Labuan termasuk 6 orang staf yang diwakili waris atau keluarga mereka.

Norenna berkata program tahunan itu bertujuan menziarahi sambil memberikan sumbangan ikhlas daripada kakitangan UMSKAL sendiri berupa barangan keperluan asas dan wang tunai kepada waris ibu bapa kandung, anak, adik beradik kakitangan UMSKAL yang telah meninggal dunia serta golongan asnaf fakir miskin bagi persediaan menyambut Aidil Fitri di beberapa buah kampung yang terpilih di sekitar Wilayah Persekutuan Labuan.

Selain itu, program itu untuk memberikan sumbangan kepada golongan asnaf sekaligus dapat mengeratkan lagi silaturahim antara UMSKAL dengan masyarakat setempat.

“Semoga sumbangan yang diberikan dapat meringankan lagi beban keluarga sempena menyambut bulan Ramadan dan Syawal akan datang,”katanya.

Sumbangan yang diberikan adalah berbentuk barangan makanan kering keperluan harian seperti beras, minyak masak, gula, kicap, garam, tepung gandum, susu pekat dan biskut.

Nilai barangan yang disumbangkan oleh Islamic Relief kepada golongan ini adalah RM120 berupa barangan keperluan kepada 20 penerima asnaf dan 5 kilogram ×10 paket beras kepada Pusat-Pusat Komuniti dan Tahfiz.

Manakala ahli waris keluarga kakitangan UMSKAL yang telah meninggal dunia menerima barangan keperluan harian serta wang tunai bernilai RM200.

KESUMBA UMS yang memperuntukkan wang tunai sebanyak RM2,600 disumbangkan untuk setiap 20 penerima asnaf dan 6 orang kakitangan UMSKAL yang diterima waris dan keluarga masing-masing.

Hasil kutipan sumbangan daripada kakitangan UMSKAL turut membantu menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

Sumbangan yang diberikan adalah berbentuk barangan makanan kering keperluan harian seperti beras, minyak masak, gula, kicap, garam, tepung gandum, susu pekat dan biskut.

Penaung program itu ialah Pengarah UMSKAL, Prof Dr Murnizam Haji Halik, Pengerusi Nur Iman Reedzal yang juga Ketua Sektor Hal Ehwal Pelajar manakala Pemantau Program ialah Mohd Fadzli Sarudi dan Earlene Kasamira Vashti Edham.

Norenna berharap menerusi program Ziarah Ramadan ini, dapatlah membantu meringankan beban keluarga yang diziarahi bagi yang kurang bernasib baik dan berpendapatan rendah, layak menerima sumbangan Ramadan mengikut kriteria yang ditetapkan seperti golongan fakir miskin, ibu tunggal, warga emas yang tidak berkemampuan serta Orang Kurang Upaya (OKU).

Tambah Norenna ia merupakan program tahunan diadakan semasa bulan Ramadan oleh Sektor HEP untuk membantu masyarakat melalui program kemasyarakatan di samping memberi peluang kepada warga Wilayah Persekutuan Labuan untuk mendekati pihak pengurusan UMSKAL.

Selain itu, program ini juga merupakan platform pihak UMSKAL untuk merapatkan hubungan silaturrahim dan ukhwah antara pihak UMSKAL dan masyarakat setempat.

Pihak UMSKAL berharap melalui program ini dapat membantu sedikit sebanyak beban yang ditanggung oleh mereka yang kurang bernasib baik untuk menjalani ibadah dengan sempurna pada bulan Ramadan.

“Ia adalah kesempatan yang diberikan Allah dan penanda kepada syukurnya kita kepada nikmat Allah SWT,

‘Semoga segala sumbangan sedekah yang dberikan mendapat keberkatan dari Nya,”kata Norenna.

Beliau tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Kampus, Prof Dr Murnizam Haji Halik, Timbalan Pendaftar Kanan, Zamri Mohamad Tuah dan Ketua Sektor HEP, Nur Iman Reedzal atas sokongan dan komitmen mereka dalam menjayakan program murni itu.

“Ucapan terima kasih juga kami tujukan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Cawangan Labuan dan Mutiara Labuan Charity,”kata Norenna lagi.

Rombongan UMSKAL itu turut disertai Penolong Pendaftar Kanan Fakulti Komputeran dan Informatik, Norhanizah Adnan, Ketua Sektor Pentadbiran, Mas Adi Alimin, Pustakawan, Dayang Ruhidah Raplee dan Ketua Sektor Hal Ehwal Islam dan Masjid, Ustaz Khairul Isham serta kakitangan yang mewakili sektor masing-masing.

Seorang kakitangan, Mat Rahim Matsin berharap program Ziarah Ramadan akan diteruskan bukan sahaja sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) UMSKAL kepada golongan yang kurang berkemampuan tetapi juga dapat menyelami kehidupan mereka yang serba kekurangan.

“Inilah ruang dan peluang berharga buat kakitangan UMSKAL melihat sendiri kehidupan golongan asnaf yang kurang berkemampuan.

“Malah kebanyakan daripada kakitangan UMSKAL itu pertama kali menjejakkan kaki ke lokasi penerima sumbangan walaupun jarak antara UMSKAL dengan kampung tersebut tidaklah terlalu jauh,”katanya.

Seorang lagi peserta program, Junainah Yunus berkata Ziarah Ramadan adalah program yang dinanti-nantikan oleh kakitangan UMSKAL pada bulan Ramadan untuk menyampaikan bantuan barang makanan dan wang tunai kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan Labuan.

Tambah Junainah, kunjungan itu bukan sahaja untuk menyerahkan sumbangan tetapi jauh di sudut hati kakitangan UMSKAL tersimpan rasa kasih sayang dan simpati kepada mereka yang memerlukan bantuan dan perhatian daripada semua pihak.

“Ada antara mereka yang hidup serba kekurangan dengan rumah yang agak usang yang sewajarnya dibina semula atau dinaiktaraf oleh pihak yang berwajib.

“Sekurang-kurangnya kunjungan saban tahun itu membuka mata kepada kakitangan UMSKAL dengan kehidupan sebahagian warga tempatan di Wilayah Persekutuan Labuan,”ujar Junainah.

Che Din Md Salleh yang saban tahun menyertai program tersebut berkata sebagai IPTA yang tunggal di Wilayah Persekutuan Labuan, UMSKAL mahu menjalinkan hubungan lebih rapat dengan masyarakat setempat khsusunya golongan yang memerlukan bantuan.

“Kami mahu menceriakan golongan asnaf untuk meniti hari-hari mendatang khususnya pada bulan Ramadan dan Aidilfitri,“kata Che Din Md Salleh.

Tamat.