LABUAN – Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin mengadakan lawatan kerja ke UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 27 Jun 2019.

Pada kesempatan itu, beliau mengadakan perjumpaan dengan kakitangan UMSKAL termasuk kakitangan akademik di Bilik Seminar Podium D, Bangunan Menara bermula pukul 2.30 petang.

Pada sebelah pagi, beliau mempengerusikan Mesyuarat Senat Bil. 6/2019 (kali ke-170) di Bilik Seminar Kiamsam, Bangunan Menara UMSKAL.

Selepas itu, Dr D. Kamarudin menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMS dan Islamic Banking and Finance Institute Malaysia di Bilik Eupnka!, Bangunan Menara, UMSKAL.

Dr Kamarudin yang diiringi Pengarah UMSKAL, Prof Dr Murnizam Haji Halik meraikan kakitangan UMSKAL pada Majlis Jalinan Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai UMSKAL 2019 di Ruang Legar Bangunan Menara.

Pada majlis itu, tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah termasuk lontong, soto, sate, ketupat dan nasi biryani serta kuih muih.

Turut diadakan penyampaian sumbangan kepada kakitangan.

Sebelum meninggalkan UMSKAL beliau beramah mesra dengan atlet kontinjen Labuan International Campus (LIC) yang akan menyertai Kejohanan Sukan Staf UMS (Sukums) 2019 pada 11-14 Julai ini di Kota Kinabalu.

Turut hadir Timbalan-timbalan Naib Canselor, Prof Dr Rasid Mail (Akademik dan Antarabangsa), Prof Madya Dr Ramzah Dambul (Penyelidikan dan Inovasi) dan Prof Dr Ismail Ali (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) serta Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Tiyunin.

Hadir sama Timbalan Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal, Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof Madya Dr Zaiton Osman, Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Prof Madya Dr Ag Asri Ag Ibrahim dan Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Haji Mohamad Tuah.

Dr D Kamarudin berharap menerusi program seumpama itu, hubungan baik antara kakitangan dengan pengurusan UMS akan terus terjalin bagi memudahkan kedua-dua pihak menjalankan tugas yang diamanahkan.

“Saya hargai usaha Pengarah UMSKAL mengadakan majlis seumpama itu untuk mendekatkan pengurusan UMS dengan kakitangan UMSKAL,”katanya.

Sementara itu, Dr Murnizam mengucapkan terima kasih atas komitmen dan kerjasama semua kakitangan dalam menjayakan program yang diadakan pada 27 Jun 2019 itu.

Tamat.