LABUAN - Penulis e-book, “Uncovering the Pearl of Borneo – Labuan through our Lens” Mary Monica dan Daria Gom telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengerusi Perbadanan Labuan, Dato 'Sri Haji Amir Hussien di pejabatnya di Menara Perbadanan Labuan, baru-baru ini.

Penulis-penulis e-buku ini adalah juga pensyarah Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Semasa kunjungan hormat, mereka telah memaklumkan inisiatif dalam mempromosikan potensi pelancongan di Wilayah Persekutuan Labuan kepada komuniti global menerusi e-buku, yang menyorotkan tempat-tempat bersejarah dan menarik.

E-buku ini telah diterbitkan pada penghujung tahun lepas dengan menggunakan platform Pendidikan Sumber Terbuka-Universiti Malaysia Sabah (UMS-OER).

Para penulis juga telah menyampaikan rancangan mereka untuk menerbitkan e-buku ini dalam versi buku ‘coffee-table’ yang akan menengahkan ciri khas tentang Perbadanan Labuan.

Sementara itu, Amir bangga atas inisiatif penulis mempromosikan Labuan dan memaparkan peranan dan objektif Perbadanan Labuan dalam pembangunan pelancongan.

Beliau juga memberitahu bahawa beberapa projek dirancang untuk menjadikan Labuan sebagai destinasi pelancongan yang lebih baik seperti pembangunan sebuah resort di Pulau Papan dan pembinaan cawangan bebas cukai berhampiran Terminal Feri Labuan.

“Penerbitan buku tersebut tepat pada masa di mana kerajaan telah mengistiharkan Tahun Melawat Malaysia (VMY) 2020. Versi bercetak itu dijangka akan siap pada hujung tahun ini.”katanya.

Ia akan disediakan bagi pertubuhan kerajaan, badan korporat, institusi pembelajaran, kedai buku dan pihak yang berminat.

Pada masa ini, e-buku berjudul “Uncovering the Pearl of Borneo – Labuan through our Lens” boleh dilihat di pautan ini https://qrgo.page.link/j2qMw atau dengan mengimbas kod QR (gambar bawah).

Tamat.