LABUAN – Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) akan menjalin kerjasama dengan Persatuan Belia dan Beliawanis Kampung Sungai Lada (BELADA) dalam pelbagai bidang khususnya yang membabitkan mahasiswa dan golongan belia di kampung tersebut.

Ia dinyatakan oleh Dekan FKAL, Prof Madya Dr Zaiton Osman ketika mempengerusikan perbincangan halatuju program belia antara kedua-dua pihak di Bilik Mesyuarat FKAL pada 21 Ogos 2019.

Turut hadir Timbalan-timbalan Dekan, Prof Madya Dr Lee Hock Ann (Akademik dan Antarabangsa), Dr Sharinah Puasa (Penyelidikan dan Inovasi), Dr Suzillah Sidek (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Penolong Pendaftar Kanan, Noraini Samsu.

Manakala Belada diwakili Pengerusinya, Faridzuan Abdul Harah, Timbalan Pengerusi, Mohd Nazmi Roslan dan Setiausaha, Nazera Roslan.

Dr Zaiton berkata antara program yang boleh diadakan termasuk membersihkan masjid, keusahawanan, sukan, kepimpinan dan kemasyarakatan.

“Pelbagai program yang dianjurkan adalah untuk manfaat mahasiswa dan golongan belia di samping merapatkan hubungan antara warga universiti khususnya FKAL dengan belia di Kampung Sungai Lada,”katanya.

Tambah Dr Zaiton, kepakaran yang dimiliki pensyarah FKAL sewajarnya dikongsi dengan komuniti setempat terutamanya generasi muda.

Sementara itu, Faridzuan mengalu-alukan komitmen pensyarah dan kakitangan FKAL dalam membantu Belada menjayakan pelbagai program seperti kepimpinan, akademik dan keusahawanan serta sukan.

“Belada mengalu-alukan kerjasama antara kedua-dua pihak yang memberi manfaat kepada golongan belia di Kampung Sungai Lada khususnya,”katanya.

Belada yang ditubuhkan sejak 1986 mempunyai kira-kira 101 ahli.

Tamat.