LABUAN - Seramai 42 orang mahasiswa Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), program Kewangan Islam, bertolak dari terminal feri Labuan ke Menumbok untuk menjayakan program bakti siswa, “Soaring Youth” yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Mengkawago, Telupid, Sabah.

Rombongan mahasiswa itu yang diiringi Pensyarah program Kewangan Islam, Nurul Izzati Abd. Razak akan bermula secara rasminya pada 27 Ogos hingga 31 Ogos 2019 bertujuan untuk memperkenalkan Fakulti Kewangan Antarabangsa, UMSKAL kepada pelajar-pelajar sekolah tersebut.

Selain itu, Program Soaring Youth ini bertujuan sebagai landasan untuk membantu pelajar SK Mengkawago meningkatkan motivasi dan kesedaran rohani serta menaikkan semangat pelajar untuk menjalani peperiksaan awam, Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini.

“Program ini juga berobjektif memasyarakatkan mahasiswa dengan mengadakan beberapa aktiviti seperti membersihkan kawasan sekolah, melukis mural, membaiki pondok ilmu, mengecat kelas dan merewang bersama keluarga angkat,”kata Nurul Izzati lagi.

Di dalam upacara pelepasan rombongan itu di hadapan Bangunan Menara UMSKAL, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni FKAL, Dr. Suzillah Sidek mewakili Dekan Fakulti, Prof. Madya Dr. Zaiton Osman berkata program seperti ini merupakan langkah fakulti untuk membudayakan amalan nilai murni dalam kalangan generasi muda melalui aktiviti kemasyarakatan.

Beliau juga berharap mahasiswa dapat mempelajari adat dan budaya masyarakat di Telupid.

“Inilah ruang dan peluang yang seharusnya direbut oleh mahasiswa untuk mendekati masyarakat di Telupid,”katanya.

Tamat.