LABUAN - Seramai 445 orang pelajar baharu telah ditawarkan mengikuti pengajian di Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) untuk Sesi 2019/2020 yang akan memulakan pendaftaran pada 3 September depan.

Menurut Pengarah UMSKAL, Prof Dr. Murnizam Haji Halik (gambar) kesemua pelajar itu akan mendaftar di Kolej Kediaman Alpha dan Beta di kampus ini iaitu masing-masing 156 pelajar lelaki dan 289 pelejar perempuan.

Katanya, daripada jumlah kesemua pelajar baharu itu, seramai 364 (123 Lelaki, 241 Perempuan) orang akan mengikuti pengajian di Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), manakala 81 (33 Lelaki, 48 Perempuan) lagi adalah pelajar Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI.

"Kesemua pelajar baharu ini nanti akan dibantu oleh seramai 65 orang Pembimbing Suai Mesra (PSM) sepanjang minggu suai kenal yang akan berlangsung nanti,"katanya ketika ditemui selepas mempengerrusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana Majlis Suai Mesra (MSM) Bil.3/2019 di Bilik Mesyuarat Seminar Kiamsam, Bangunan Menara pada 28 Ogos 2019.

Turut hadir Timbalan Pendaftar Kanan, Zamri Haji Mohamad Tuah dan Ketua Sektor HEPA, Nur Iman Reedzal.

Dr Murnizam berkata, bagi memberi semangat kepada pelajar baharu, UMS akan membekalkan baju korporat, t-shirt bag, non woven bag, tali lanyard dan card holder.

Katanya, kakitangan Sektor Hal Ehwal Pelajar (SHEP) kini sibuk menyediakan kesemua peralatan berkenaan sebelum diserahkan kepada pelajar bulan depan.

Dalam pada itu antara pengisian sepanjang minggu suai kenal ialah Amanat Pengarah UMSKAL, program bersama fakulti, majlis ikrar, taklimat profail kerjaya, sesi bersama mentor mentee, kepimpinan mahasiswa dan malam persembahan bakat MSM.

Sehubungan itu, Dr Murnizam mengalu-alukan kedatangan pelajar baharu dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia serta Labuan yang akan ditemani ibu bapa ke UMSKAL dan Wilayah Persekutuan Labuan amnya.

Tamat.