LABUAN – Seramai 400 peserta telah menjayakan Program Wacana Fatwa Muamalat Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2019 yang diadakan di Dewan Theatrette, Bangunan Podium, UMSKAL pada 26 September 2019.

Mereka terdiri daripada kakitangan jabatan dan agensi kerajaan, Jawatankuasa Masjid, imam dan bilal serta kakitangan dan pelajar UMSKAL.

Majlis anjuran Pejabat Mufi Wilayah Persekutuan Cawangan Labuan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) itu dirasmikan oleh Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Haji Hashim Haji Salleh.

Turut hadir wakil Pengarah UMSKAL, Dr Nurashikin Muda.

Pada program itu, tiga kertas kerja dibentangkan oleh Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Ahmad Sufyan Che Abdullah yang bertajuk “Matlamat dan Prinsip Muamalat Islam”.

Pembentangan Kertas Kerja 2: “Fatwa-fatwa Berkaitan Muamalat di Wilayah Persekutuan” disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan, Dr. Nik Rahim Abdul Ghani.

Manakala Penasihat Syariah, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Ustaz Wan Rumaizi Wan Husin membentangkan kertas kerja bertajuk “Ancaman dan Penipuan Dalam Skim Pelaburan”.

Haji Hashim berkata tujuan program itu diadakan adalah untuk memberi kefahaman kepada masyarakat perkara yang melibatkan hukum-hukum muamalat Islam.

Selain itu, katanya, menyediakan forum bagi masyarakat awam mendapat maklumat berhubung isu-isu muamalat semasa di Wilayah Persekutuan Labuan dan negara ini amnya.

“Membincangkan tajuk-tajuk terpilih berkaitan isu-isu muamalat yang relevan serta berkongsi ilmu dan pengalaman dalam mencari penyelesaian terhadap isu-isu tersebut,”katanya.

Justeru itu, Hashim menyeru peserta untuk menggunakan khidmat kewangan Islam yang mempunyai pelbagai pilihan dari segi produk perbankan dan takaful yang jelas bersih daripada unsur-unsur riba dan memenuhi tuntutan syariah.

Sementara itu, Nurashikin yang mewakili Pengarah UMSKAL, Prof Dr Murnizam Haji Halik mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Mufti yang sudi bekerjasama mengadakan program tersebut yang turut memberi manfaat kepada mahasiswa dan kakitangan UMSKAL.

“Pihak UMSKAL amat mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai pihak untuk mengadakan program yang memberi manfaat kepada mahasiswa dan kakitangan universiti ini,”katanya.

Tamat.