LABUAN – Seramai 12 pegawai dan kakitangan UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah menerima Anugerah Jasa Setia 20 Tahun sempena Majlis Penghargaan Kakitangan UMSKAL 2019.

Mereka menerima sijil penghargaan dan sebatang pen.

Turut menerima sijil penghargaan ialah 17 pegawai dan kakitangan yang menerima Anugerah Jasa Bakti 10 Tahun.

Majlis penyampaian anugerah disempurnakan oleh Pengarah UMSKAL, Prof Dr Murnizam Haji Halik di Bilik Sri Menanti, Bangunan Menara pada 30 September 2019.

Turut hadir Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Prof Dr Abdullah Gani dan Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Haji Mohamad Tuah.

Pada majlis itu, tiga orang pemenang turut menerima hadiah pertandingan Jom Pay anjuran Sektor Kewangan UMSKAL.

Dalam ucapan ringkasnya, Dr Murnizam berkata UMS sentiasa menghargai sumbangan kakitangan apatah lagi yang telah berkhidmat selama 20 tahun dan 10 tahun.

Katanya, sumbangan pegawai, pensyarah dan kakitangan pelaksana dalam pelbagai bidang akan sentiasa dikenang sekaligus membantu membangunkan UMS dan UMSKAL khususnya sebagai sebuah IPTA yang berwibawa di negara ini.

Justeru itu, beliau berharap kakitangan yang menerima penghargaan itu akan terus menjalankan tugas dan perkhidmatan mereka dengan baik serta berkongsi ilmu dan pengalaman dengan rakan sejawat masing-masing.

“Kongsilah ilmu dan pengalaman selama 20 dan 10 tahun itu dengan rakan sejawat sekaligus membantu membangunkan UMS dan UMS Labuan secara keseluruhannya,”katanya.

Tamat.