LABUAN – Sukan bola sepak mampu mengeratkan lagi hubungan persahabatan dan silaturrahim antara pemain yang terbabit.

Ini terbukti menerusi perlawanan bola sepak persahabatan antara pasukan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan di Padang Sintetik, Kompleks Sukan Labuan pada 2 Oktober 2019.

Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Mohamad Tuah berkata perlawanan itu juga diadakan untuk menguji kekuatan dan keserasian pemain UMSKAL yang diketuai Yusdi Lamat.

“Perlawanan seperti itu penting untuk memantapkan lagi pasukan UMSKAL untuk menghadapi pertandingan di peringkat UMS pada masa akan datang,”katanya ditemui selepas menyampaikan cenderamata kepada Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Supian Musa sambil disaksikan pemain kedua-dua pasukan.

Zamri bagi pihak Pengarah UMSKAL, Prof Dr Murnizam Halik sentiasa mengalu-alukan perlawanan persahabatan dengan pasukan jabatan dan agensi kerajaan di wilayah ini.

Pada perlawanan itu, pasukan UMSKAL yang dibimbing jurulatih Asmawi Awang menewaskan KKMM Labuan 3-1 menerusi jaringan Mohd Nadzirul Rahmat, Syahrulnidzam Wahanin dan Mohd Nazri Ibrahim.

Manakala gol tunggal KKMM dijaringkan Mohamad Raiful.

Sementara itu, Supian berharap lebih banyak program dapat diadakan antara kedua-dua organisasi sekaligus mengukuhkan lagi jaringan persahabatan antara KKMM Labuan dan UMSKAL.

“Bola sepak adalah salah satu cara untuk kita mengeratkan silaturrahim dalam kalangan kakitangan KKMM dan UMS Labuan,”katanya.

Tamat.