LABUAN – Seramai 85 pelajar Tingkatan 3 SMK Rancha-Rancha  yang diiringi 6 orang guru telah mengadakan lawatan kerjaya sempena Program Pasca PT3 ke UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 16 Oktober 2019.

Kaunselor SMK Rancha-Rancha, Raffeza Sanadi berkata program itu bertujuan untuk memberi motivasi kepada pelajar untuk menyambaung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Selain itu, katanya untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang peluang-peluang kemasukan dan program yang ditawarkan di UMSKAL.

“Menerusi taklimat dan lawatan tersebut, saya yakin ia akan menaikkan semangat kepada pelajar untuk terus belajar dengan azam untuk melanjutkan pengajian tinggi ke universiti khususnya ke UMS,”katanya ditemui selepas lawatan tersebut.

Sementara itu, taklimat mengenai UMSKAL disampaikan oleh Ketua Sektor Pentadbiran dan Sumber Manusia, Mas Adi Alimin yang mewakili Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Haji Mohamad Tuah di Dewan Kuliah C, Bangunan Menara.

Sepanjang lawatan itu, pelajar dan guru diiringi serta diberikan taklimat oleh Mohizam Mohamad dan Nor Atiqah Mustafa ke Aras 13 dan Makmal Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) di Tingkat 9.

Sementara itu, Pengetua SMK Rancha-Rancha, Cikgu Yahya Ahmad Putih mengharapkan melalui lawatan ini dapat membuka mata pelajar-pelajar untuk melihat sendiri cara hidup di kampus dan memberi dorongan mereka untuk terus menanamkan azam supaya suatu hari nanti mereka juga akan melangkah ke menara gading.

Pada masa sama, Yahya berkata melalui aktiviti ini pelajar dapat berinteraksi sendiri tentang program yang ditawarkan di UMSKAL dan secara tidak langsung dapat membolehkan mereka memilih aliran apabila memasuki tingkatan empat kelak.

“Kami ucapkan terima kasih kepada Pengarah UMSKAL, Prof Dr Murnizam Haji Halik yang sudi menerima kunjungan pelajar Tingkatan 3 yang bakal memasuki UMSKAL pada masa akan datang,”katanya.

Rombongan sekolah itu diketuai Kaunselor, Raffeza Sanadi bersama Winnie Anak Albert Jarop, Fatimah Syahida Jusoh, Zaharah Mat Jali, Norziah Jakaria dan Nor Azila Abd Kadir.

Pelajar dan guru teruja ketika berada di Makmal FKI yang canggih dan moden selain terpesona dengan pemandangan menarik Wilayah Persekutuan Labuan yang dapat dilihat dari Aras 13 yang turut menempatkan Balai Cerapan.

UMSKAL kini menawarkan tujuh program iaitu lima di Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dan dua program di FKI.

Mas Adi yang juga Penolong Pendaftar Kanan berharap lebih ramai pelajar dari Labuan melanjutkan pengajian tinggi mereka di UMSKAL pada masa akan datang.

Pada akhir lawatan, Raffeza menyampaikan cenderamata kepada Penolong Pendaftar HEP, Mohd Fadzli Sarudi.

Tamat.